Bayi Prematur

E-mailPrintPDF

BAYI YANG DILAHIRKAN PREMATUR / PRAMATANG

Tempoh kandungan sepenuhnya adalah 40 minggu.  Kelahiran bayi pada peringkat 28 minggu dianggap sebagai sangat prematur (extreme prematurity).  Kelahiran bayi pada minggu 36 dan 37 dianggap kelahiran prematur yang sederhana (borderline prematurity). Perkara ini penting difikirkan kerana ia bersabit dengan kemampuan seseorang bayi itu untuk menyesuaikan dirinya dengan persekitaran di luar rahim ibunya.  Semakin prematur bayi itu, semakin sukar untuk dia menyesuaikan dirinya kerana fungsi sistem-sistem dan organ-organ masih belum matang lagi.

Bayi yang dilahirkan pada minggu ketiga puluh enam ke atas mempunyai peluang yang lebih baik untuk menyesuaikan dirinya dengan persekitaran barunya kalau dibandingkan dengan bayi yang dilahirkan pada minggu yang kedua puluh lapan.  Ini tidaklah menghairankan kerana sistem bayi pada peringkat itu seperti sistem pernafasan, fungsi hati, perkembangan fizikal dan urat saraf, sistem uro-jenital dan kulitnya semuanya masih berkurangan.  Dari itu kelahiran pada peringkat minggu yang kedua puluh lapan akan membawa beberapa kesulitan bagi bayi.

Kelahiran pada peringkat kedua puluh lapan minggu lazimnya membawa maut pada bayi pada masa dahulu.  Tetapi sejak 20 tahun yang lampau sehinggalah sekarang, teknologi dan pengetahuan tentang jagaan bayi-bayi yang sangat prematur telah meningkat dengan pesatnya.  Kalau dahulunya kebanyakkan bayi yang dilahirkan pada peringkat kedua puluh lapan minggu biasa mati, sekarang  kebanyakan daripada mereka itu dapat diselamatkan dengan teknologi moden.  Bahkan ada pusat-pusat rawatan bayi khas di dunia yang telah berjaya menyelamatkan bayi-bayi yang dilahirkan walaupun hanya pada peringkat kedua puluh tiga minggu.  Tetapi, perlulah diingatkan yang semakin prematur bayi itu dilahirkan, semakin sukar baginya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru.  Tanpa rawatan khas, risiko kematian akan menjadi lebih tinggi.  Semakin tinggi perkhidmatan perinatal dalam sesuatu kawasan, semakin tinggi kadar kematian bayi-bayi.  Negara-negara membangun sudah tentulah akan mencatatkan kadar kematian perinatal yang lebih tinggi kalau dibandingkan dengan negara-negara yang sudah maju.

Sekiranya kelahiran bayi prematur dapat dicegah atau dikurangkan sama ada dengan ubat-ubatan merawat punca-punca yang dikenalpasti sebelum berlakunya kelahiran, ini tentu akan menurunkan kadar kematian perinatal dalam sesebuah negara itu.  Malangnya tidak semua kelahiran prematur dapat diketahui punca-puncanya menyebabkan langkah-langkah intervensi sukar dirancangkan.  Tetapi sebahagian besar kelahiran prematur kini telah boleh diberhentikan dengan menggunakan ubat-ubat yang tertentu jika proses kelahiran baru sahaja bermula.

Sebab-sebab Kelahiran Prematur Berlaku

Perpecahan pada lapisan amonion jika berlaku dengan lebih awal (premature rupture of membrane) dan kontraksi otot rahim (uterine contraction) boleh membawa pada kelahiran bayi prematur. Ada juga wanita-wanita yang kerap-kali melahirkan janin pada trimester kedua kerana bahagian cervix tidak teguh (cervical incompetence) . Ini boleh dirawat dengan suatu pembedahan untuk meneguhkan bahagian cervix .

Ibu mengandung yang mengalami darah tinggi (pre-eclamptic toxaemia ) atau mempunyai uri yang tidak sesuai tempatnya ( placenta praevia ) selalu melahirkan bayi yang prematur .

Uri  mungkin terkoyak dari dinding rahim ( abruptio-placenta ) menyebabkan  pendarahan . Jika ia berlaku terlalu awal bayi mungkin dilahirkan prematur .

Kadang-kala bayi sendiri terpaksa dilahirkan dengan awal kerana sesuatu keadaan seperti 'Rhesus-isoimmunisation' di mana sel-sel  darah merah janin berpecah dengan cepatnya akibat antibodi ibunya yang masuk ke dalam sirkulasi darah janin . Nyawa janin mungkin terancam jika dia tidak  dilahirkan dengan lebih awal. Keadaan ini lebih kerap terdapat di negara -negara barat .

Ciri -ciri bayi prematur

Dari ciri -ciri fizikal dan urat saraf bayi -bayi yang dilahirkan secara prematur , seseorang doktor itu dapat menentukan usia gestasi bayi . Tubuh badan bayi sangat prematur sangat lembut dan tidak banyak bergerak.  Kulit di badannya nampak berkilat , tidak seperti bayi -bayi dismatur yang kelihatan kering , nipis dan berkupas -kupas . Telinganya mudah dilipat -lipatkan . Bagi bayi lelaki , kedua-dua telurnya selalu tidak dapat dikesan di dalam pundi skrotum .

Bayi prematur cepat kesejukan dan jika langkah-langkah tidak diambil untuk menjaga suhu badannya , ini akan membawa maut .

 Kerana urat sarafnya masih belum matang lagi , bayi-bayi prematur selalu sukar menghisap susu dan memerlukan cara menyusu yang lain seperti melalui tiub nasogastik . Seperti bayi dismatur juga , bayi prematur mudah mendapat kekurangan glukos di dalam darah selalu menggelentar atau mendapat sawan . Ini adalah serius kerana boleh mengakibatkan kerosakan otak sehingga membawa kepada kecacatan fizikal dan mental pada masa hadapan

Bayi prematur mudah kekuningan ( jaundice ) . Ini disebabkan oleh bahan kimia bilirubin yang tidak dapat dibuang dari sistem hati dengan secepatnya kerana fungsi sistem ini masih belum matang lagi . Bayi prematur tidak tahan kekuningan . Bahan kimia bilirubin senang menembusi sekatan yang dinamakan ' blood brain barrier ' untuk melekat pada bahagian otak yang disebut ' basal ganglia ' . Akibatnya bayi prematur akan mengalami ' cerebral palsy ' serta kehilangan keupayaan mendengar yang akan membawa kepada masalah pertuturan pada masa hadapan ( kernicterus ) .

Bayi prematur mudah mendapat kesesakan pernafasan atau 'respiratory distress syndrome ' . Keadaan ini berpunca dari kekurangan bahan yang dinamakan ' surfactant ' yang biasanya dibentuk oleh paru -paru bayi itu sendiri sehingga usia gestasinya 34 minggu . Jika ' surfactant ' kekurangan kerana kelahiran terlalu prematur , pernafasan bayi akan terganggu oleh sebab oksigen dari udara tidak dapat diserapkan ke dalam darahnya melalui sistem paru -parunya .

Kebiruan atau ' cycnosis' jika dibiarkan berterusan akan merosakkan otak bayi .

Bayi prematur mudah mendapat infeksi seperti bayi -bayi dismatur . Doktor dan jururawat yang menjaganya perlu berhati-hati untuk mengesan dengan awal tanda-tanda infeksi supaya rawatan segera boleh diaturkan .

Rawatan bagi bayi -bayi prematur

Ramai juga di antara bayi-bayi prematur yang mempunyai ciri -ciri bayi dismatur . Rawatan untuk seseorang bayi yang dilahirkan kurang berat mestilah diaturkan secara individu berdasarkan masalah-masalah yang terdapat kepada seseorang bayi itu . Seperti bayi dismatur , bayi prematur juga memerlukan rawatan giat yang seelok-eloknya diberi di hospital -hospital yang mempunyai tenaga  pakar dan alat-alat yang diperlukan . Ini adalah kerana kedua-dua kumpulan bayi yang dilahirkan kurang berat ini mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi dari bayi-bayi yang dilahirkan cukup bulan mempunyai timbang berat yang sederhana . Pusat-pusat rawatan bayi khas di negara-negara maju seperti  Eropah , Amerika Syarikat dan Jepun telah dapat mencatatkan kejayaan untuk menyelamatkan bayi prematur yang dilahirkan seawal-awal dua puluh tiga minggu atau mempunyai timbang berat dalam 500 gm (1 paun) . Ini hanya boleh dicapai dengan menggunakan teknologi moden dan jagaan yang bermutu tinggi .

Bayi-bayi prematur yang dilahirkan di luar hospital apabila sampai ke hospital akan berada dalam keadaan kesejukkan . Kesejukkan akan memburukkan keadaan bayi dengan cepat dan menyulitkan lagi rawatan untuk menyelamatkannya . Bayi prematur yang dilahirkan dalam hospital akan dirawat di dalam inkubator supaya suhu badannya terpelihara .

Bayi yang mengalami ' Respiratory Distress Syndrome ' memerlukan oksigen dengan mencukupi - tahap oksigen di dalam darah mesti tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah kerana kedua-dua keadaan ini adalah merbahaya kepada bayi . Alat-alat yang merekodkan maklumat seperti rentak jantung , kadar pernafasan , tekanan darah dan suhu badan boleh dipasang kepada dada bayi . Darah bayi perlu diperiksa dari masa ke semasa untuk menentukan bahan-bahan seperti elektrolik , glukos dan oksigen tidak berada pada paras yang boleh menggugat nyawanya .

Jika kekuningan dikesan , fototerapi mesti dimulakan dengan awal supaya keadaan tidak melarat sehingga merosakkan otak bayi . Paras kekuningan yang merbahaya perlu dirawat dengan pertukaran darah ( exchange transfusion ) untuk mengelakkan keadaan yang dipanggil kernicterus .

 Kebanyakkan bayi-bayi prematur boleh diselamatkan dengan jagaan yang optimum pada waktu neo-natal tanpa apa-apa gangguan pada urat sarafnya .

Kesimpulan

Ibu-ibu mengandung digalakkan supaya mendapat pemeriksaan antenatal dari masa ke semasa supaya sesuatu keadaan yang memerlukan rawatan dapat dikesan . Darah tinggi (pre-eclamptic toxaemia ) , janin kembar serta placenta-praevia adalah di antara keadaan-keadaan yang perlu diberi perhatian . Bagi ibu mengandung yang selalu mendapat kelahiran prematur , mereka dinasihatkan supaya tidak membuat kerja yang berat . Jika tanda-tanda kelahiran prematur baru bermula , rawatan suntikan segera dengan ubat -ubat tertentu mungkin boleh memberhentikan kelahiran . Seseorang ibu mengandung yang berasa sakit atau mendapati darah keluar mestilah segera mendapatkan rawatan doktor .

 






Iklan

BUDS_SlideLogo

Bellaposhbowtique.com
Kedai Buku Online

Who's Online

Please select a menu item first in the module's configuration.

Statistik

Total Members : 16876
Latest Member : pralKistsuips
Today : 0 Registers
This Week : 0 Registers
This Month : 0 Registers
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday3926
mod_vvisit_counterYesterday3950
mod_vvisit_counterThis week3926
mod_vvisit_counterLast week29413
mod_vvisit_counterThis month21349
mod_vvisit_counterLast month120098
mod_vvisit_counterAll days10621424

Your IP: 38.107.179.230
 , 
Today: Feb 05, 2012

Lokasi Kami


View Business Listing in a larger map

Hubungi Kami

     Klinik Dr. Hamid Arshat
     75M Medan Setia Satu,
     Plaza Damansara, Bukit Damansara,
     50490 Kuala Lumpur,
     Malaysia

Telefon temujanji:

  • 603 - 2094 5800
  • 603 - 2094 5262
  • 603 - 2094 1115
Faks : 603 - 2094 9402
    E-mail:
    • hamidarshat@hotmail.com