Bayi Dismatur

E-mailPrintPDF

  BAYI YANG DILAHIRKAN KURANG BERAT ( BAYI DISMATUR )

Bayi yang mempunyai timbang berat kurang daripada 2.5 kg semasa dilahirkan dianggap kurang berat ( low birth weight ) menurut definisi pertubuhan kesihatan sedunia ( world health Organisation).

Bayi yang kurang berat (di bawah 2.5kg) boleh dibahagikan kepada kumpulan.  Pertama ialah  bayi-bayi prematur dan kedua bayi-bayi yang terlalu ringan bagi usia kandungannya (dysmature baby, light for dates baby, Small for gestational age baby).  Tetapi, kadang-kala terdapat juga bayi yang bukan hanya prematur tetapi terlalu ringan bagi usia kandungannya.

Bayi yang sangat prematur (usia kandungan 28 minggu ke bawah) mempunyai ciri-ciri dan masalah yang berbeza dari bayi yang cukup usia kandungan tetapi sangat kurang beratnya. Walau bagaimanapun, kedua-dua kumpulan bayi ini merupakan bayi-bayi yang memerlukan rawatan yang lebih rapi kerana kematian lebih sering berlaku di kalangan mereka pada waktu perinatal iaitu dari 28 minggu kandungan sehingga seminggu selepas dilahirkan,

Sebab-sebab bayi kurang berat

Pertumbuhan janin dalam kandungan boleh terjejas akibat berbagai keadaan. Sehingga kini ahli-ahli penyelidik masih giat menjalankan penyelidikan untuk mengetahui dengan lebih mendalam akan sebab-sebabnya bayi dilahirkan kurang berat.

Adalah dianggarkan sebanyak 90 peratus bayi -bayi yang dilahirkan kurang berat datangnya dari negara-negara membangun. Punca-puncanya banyak bersangkut-paut dengan faktor -faktor sosial dan ekonomi. Ibu mengandung yang merokok atau meminum alkohol atau yang tahap pemakanannya rendah boleh menjejaskan pertumbuhan janin. Pertumbuhan janin juga boleh  terjejas jika ibu membuat kerja-kerja fizikal dengan keterlaluan.

Jika seseorang ibu itu pada peringkat awal mengandungnya mendapat infeksi kuman virus Rubella , cytomegalovirus atau sejenis pathogen , toxoplasma , bukan sahaja pertumbuhan janinnya boleh terjejas tetapi kerosakan akan berlaku kepada organ-organ seperti  otak, jantung, mata, telinga dan sebagainya.

 Apakah akan berlaku kepada ibu mengandung  yang mengalami darah tinggi (pre-eclamptic toxaemia) ? Bekalan oksigen dan nutrient kepada janin melalui uri (placenta) akan tersekat. Akibatnya ialah janin tidak dapat membesar jika keadaan  itu menjadi terlalu buruk, ini boleh menyebabkan janin mati sebelum sampai waktu kelahirannya.

Ubat-ubat seperti ubat untuk rawatan penyakit barah, penyakit thyroid dan pendedahan kepada dadah juga akan menjejaskan pertumbuhan bayi. Walupun ibu mengandung yang menghidap penyakit kencing manis ( diabetes ) selalunya melahirkan bayi yang besar ( melebihi 10 paun selalunya ) , adalah juga dianggarkan yang 10 peratus dari mereka melahirkan bayi kurang berat. Satu lagi keadaan yang boleh membawa kepada kelahiran bayi kurang berat ialah jika seseorang itu melahirkan anak terlalu kerap dan rapat.

Pada hakikatnya sebab-sebab bayi kurang berat adalah kompleks kerana banyak berhubung-kait dengan berbagai -bagai faktor.

Ciri -ciri bayi dismatur

Selepas dilahirkan , bayi dismatur mudah dikenali dengan bentuk tubuh badan yang kecil dan kurus. Mukanya seperti rupa orang tua, lipatan kelopak bawah matanya sangat ketara. Kulit di badannya kelihatan kering dan berkupas serta nipis kerana kekurangan lemak dan bercalar -calar hingga di tapak kakinya. Dia lebih celik dari bayi prematur dan selalunya boleh menghisap susu dan sering perlu diberikan melalui tiub.

Tahap pemakanan yang rendah menyebabkan bayi kekurangan dari segi bekalan lemak di dalam tubuh badannya. Ini menyebabkan suhu badannya rendah. Bekalan ' glycogen' di dalam hatinya ' liver ' yang sedikit menyebabkan paras glukos di dalam darahnya turun sehingga boleh menyebabkan sawan. Ini boleh merosakkan otak bayi dan boleh menyebabkan kecacatan fizikal dan kerencatan akal. Kekurangan glukos di dalam darah selalunya terdapat pada hari pertama , kedua dan ketiga.

Fungsi pernafasannya lebih baik dari bayi prematur dan dia jarang mengalami penyakit paru -paru ( hyaline membrane disease ) yang berpunca dari kekurangan bahan yang dipanggil 'SURFACTANT' seperti yang selalu terdapat pada bayi prematur. Tetapi bayi dismatur yang lemas di dalam rahim di waktu bersalin sering mengeluarkan najisnya ( meconium ) yang bercampur dengan cecair yang menyelubunginya ( meconium stained liquor ). Jika dia tersedut cecair yang bercampur ' meconium ' pernafasannya boleh terganggu sehingga membawa kepada maut jika dia tidak segera mendapat rawatan khas. Keadaan ini dipanggil meconium aspiration syndrome.

Ketahanannya untuk mengatasi infeksi adalah rendah dan oleh itu dia sering diserang penyakit dengan kuman-kuman yang biasanya tidak bergitu patogenik. Seseorang doktor yang merawat bayi -bayi dismatur perlu selalu berawas untuk menjalankan ujian -ujian tertentu serta merawat dengan antibiotik kerana tanda -tanda ditunjukkan oleh bayi yang ' septicaemic ' sering tidak begitu ketara dan penyakit ini boleh membunuh dengan cepat.

Darah bayi-bayi dismatur lebih pekat menyebabkan dia mudah mengalami pembekuan darah. Ini boleh berlaku di dalam otak , dalam salur darah , di buah pinggang , di paru -paru dan sebagainya. Keadaan paru -paru berdarah ( pulmonary haemorrhage ) merupakan punca kematian yang sering terdapat di kalangan bayi - bayi dismatur.

Rawatan bagi bayi-bayi dismatur

 Semakin rendah timbang beratnya semakin tinggi risiko untuk mengalami keadaan -keadaan yang boleh membawa maut. Yang penting diawasi ialah supaya suhu badan bayi tidak terlalu dingin atau terlalu tinggi. Ini boleh dipastikan dengan merawat bayi dalam inkubator yang mempunyai alat -alat yang tertentu. Rentak nadi jantung dan pernafasan perlu diperhatikan dari semasa ke semasa.

Penyusuan susu perlu dimulakan seawal-awal yang boleh supaya bayi tidak kekurangan glukos di dalam darah. Jika bayi sukar menghisap , susu boleh diberi melalui tiub yang dimasukkan ke perut bayi melalui lubang hidung. Kekurangan glukos di dalam darah yang menyebabkan sawan perlu diatasi dengan memberi suntikan glukos. Sawan yang disebabkan oleh kekurangan glukos di dalam darah adalah merbahaya kepada otak bayi.

Jika ada apa -apa perubahan pada keadaan bayi yang membimbangkan , ujian -ujian darah , air kencing , air serebrospinal , X ray akan dibuat dan rawatan dengan antibiotik dimulakan dengan segera.

Bayi dismatur yang dilahirkan lemas kerana tersedut meconium pada waktu kelahiran memerlukan satu prosedur untuk menyedut meconium dari saluran paru -parunya. Keadaan bayi selalunya tenat dan rawatan yang agresif serta rapi perlu diberikan.

Alat bantuan pernafasan mungkin digunakan untuk menampung fungsi pernafasan jika ia kurang memuaskan.

Masa hadapan bayi -bayi dismatur terselamat

 Walaupun bayi-bayi dismatur terselamat dari keadaan-keadaan yang ditemui pada waktu perinatal risiko untuk mereka mengalami masalah perkembangan adalah lebih tinggi daripada bayi-bayi biasa.

Risiko mereka mengalami keadaan -keadaan seperti palsi serebral ( cerebral palsy ) , kecacatan akal serta masalah pembelajaran yang disebabkan oleh kekurangan tumpuan perhatian (attention span deficit) , gangguan pengamatan (visio spatial perceptual problems) dan sebagainya adalah lebih tinggi dari kanak -kanak biasa.

Pengawasan perkembangan yang lebih teliti adalah perlu supaya latihan khas dapat dimulakan seawal -awalnya jika sesuatu masalah itu dapat di kesan.

Kebanyakkan bayi-bayi dismatur ini selalu kelihatan kecil kalau dibandingkan dengan kebanyakan bayi-bayi yang seumur dengannya terutamanya jika pertumbuhan janin mula terjejas dari peringkat awal kandungan. Selalu terdapat ibu bapa mengeluh yang anak mereka tidak membesar seperti kanak-kanak lain walaupun kesihatan mereka tidak terganggu dan mereka selalu kelihatan cergas. Setelah diketepikan semua unsur organik , kanak -kanak ini walaupun kecil , mereka tetap membesar mengikut kadar yang sederhana. Walaupun mereka kecil , mereka tetap sihat.

Kesimpulan

Oleh kerana bayi-bayi dismatur mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi serta potensi pertumbuhan dan perkembangan yang lebih rendah , keadaan ini mesti dicegah seberapa yang boleh. Ibu-ibu yang mengandung dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan antenatal dari doktor atau jururawat terlatih supaya keadaan seperti darah tinggi dapat dirawat dan nasihat yang tertentu dapat diberikan untuk mengelakkan gangguan kepada proses pertumbuhan janin.

Ibu mengandung dilarang dari merokok , meminum arak , memakan apa sahaja tanpa arahan atau nasihat doktor. Mereka dinasihatkan juga menjaga kebersihan diri , kesihatan serta mendapatkan makanan yang mencukupi dan berzat. Aktiviti fizikal yang keterlaluan tidak di galakkan. Mereka perlulah mendapatkan waktu rehat yang mencukupi setiap hari.

Wanita-wanita digalakkan supaya menjarakkan kelahiran anak untuk mengurangkan kemungkinan mendapat bayi -bayi dismatur. Mereka digalakkan supaya melahirkan anak dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun dan menjarakkan kelahiran sekurang -kurangnya dua tahun.

 






Iklan

BUDS_SlideLogo

Bellaposhbowtique.com
Kedai Buku Online

Who's Online

Please select a menu item first in the module's configuration.

Statistik

Total Members : 16876
Latest Member : pralKistsuips
Today : 0 Registers
This Week : 0 Registers
This Month : 0 Registers
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday3925
mod_vvisit_counterYesterday3950
mod_vvisit_counterThis week3925
mod_vvisit_counterLast week29413
mod_vvisit_counterThis month21348
mod_vvisit_counterLast month120098
mod_vvisit_counterAll days10621423

Your IP: 38.107.179.229
 , 
Today: Feb 05, 2012

Lokasi Kami


View Business Listing in a larger map

Hubungi Kami

     Klinik Dr. Hamid Arshat
     75M Medan Setia Satu,
     Plaza Damansara, Bukit Damansara,
     50490 Kuala Lumpur,
     Malaysia

Telefon temujanji:

  • 603 - 2094 5800
  • 603 - 2094 5262
  • 603 - 2094 1115
Faks : 603 - 2094 9402
    E-mail:
    • hamidarshat@hotmail.com