PENYUSUAN IBU
Tahun pertama kehidupan seorang bayi adalah sangat penting kerana pada jangka waktu inilah pertumbuhan fizikal dan mental mula berkembang. Malangnya dalam tahun pertama ini juga sebahagian kematian bayi berlaku. Punca utama kematian ialah cirit-birit yang ada kaitan dengan pemakanan dan penyusuan bayi. Oleh itu jagaan yang kurang sempurna dan pemakanan yang tidak lengkap dan sesuai boleh menyebabkan kematian bayi.
Begitu juga dengan jangkitan kuman khususnya jangkitan yang melibatkan paru-paru dan otak, masalah pernafasan yang mungkin disebabkan oleh kelahiran belum cukup bulan atau bayi yang lahir dengan timbang berat yang rendah. Semua faktor ini, boleh menyebabkan bayi mati.
Apakah Pilihan Ibu?
Ibu yang baru sahaja melahirkan anak mempunyai dua pilihan penyusuan iaitu memberi susu sendiri atau susu botol yang menggunakan susu lembu. Saya suka menyarankan, adalah lebih baik ibu-ibu memberi susu sendiri kerana banyak kelebihannya berbanding dengan susu lembu.
Susu ibu tidak seperti susu lembu yang memerlukan wang untuk membelinya. Ia mudah didapati dengan tidak memerlukan botol dan mudah diberikan kepada bayi bila-bila masa sahaja dalam apa jua keadaan. Di samping itu susu ibu mempunyai khasiat yang tinggi dari segi kandungan zat pemakanan. Ia mudah dihadam oleh bayi yang masih mempunyai sistem penghadaman yang kurang matang dan mendapati sukar untuk menghadam makanan yang lain daripada susu ibu. Ia juga mengandungi satu bahan pelindung untuk melawan penyakit iaitu antibodi. Dengan itu ia dapat memberi pertahanan kepada bayi yang baru lahir terhadap serangan jangkitan kuman.
Oleh itu susu ibu terkandung dalam satu takungan yang jarang-jarang dimasuki kuman, risiko bayi mendapat jangkitan kuman dari penyusuan ibu adalah jauh lebih rendah berbanding dengan penyusuan botol. Satu perkara yang amat penting dan perlu difikirkan dengan mendalam oleh ibu-ibu ialah penyusuan ibu boleh menjalin hubungan yang lebih rapat antara ibu dengan bayinya.
Susu Lembu
Jelaslah susu ibu mempunyai manfaat yang tiada tandingannya. Seperti yang saya nyatakan tadi, untuk mendapatkan susu lembu, kita terpaksalah mengeluarkan perbelanjaan yang mungkin boleh digunakan untuk membeli makanan yang berkhasiat. Walau bagaimana baik pun susu formula itu dibuat ia tetaplah daripada susu lembu yang masih tidak setanding dengan susu ibu. Dalam hal ini perlu saya nyatakan bahawa susu pekat manis dalam tin yang biasa kita gunakan untuk membuat minuman tidak sesuai untuk bayi.
Terdapat banyak jenis susu untuk bayi di pasaran dengan jenama yang berlainan dan fomula yang agak berlainan sedikit tetapi khasiatnya tidak banyak berbeza antara satu sama lain. Apa yang ketara hanyalah perbezaan dalam harga antara satu jenis dengan jenis yang lain. Ada sesetengah ibu sengaja membeli susu tepung yang lebih mahal kerana ini dapat dikaitkan dengan simbol status. Perlu diingat, susu yang mahal itu tidak bermakna banyak khasiat atau setanding dengan susu ibu. Semua susu tepung adalah sama, iaitu diperbuat daripada susu lembu.
Jika Tidak Boleh Menyusu
Sebaiknya setiap ibu perlu menyusukan anaknya sendiri. Jika ibu mengalami beberapa masalah barulah membuat pilihan dengan menggunakan susu lembu. Antara masalah yang mungkin menyebabkan seseorang ibu itu terpaksa menyusukan secara botol ialah:
Jangkitan kuman pada buah dada menyebabkan buah dada menjadi bengkak dan bernanah (abcess).
Ibu yang sakit tenat seperti penyakit jantung dan tidak berdaya untuk menyusukan bayi. Ibu ini juga dinasihatkan supaya tidak menyusukan bayinya.
Ibu-ibu yang mempunyai masalah pada putting susu seperti inverted nipple. Masalah ini kadangkala boleh diatasi dengan menggunakan sejenis alat yang boleh membetulkan keadaan putting buah dadanya. Ini boleh diajarkan oleh doktor.
Persediaan Penyusuan
Penyusuan ibu memerlukan persediaan sejak dari awal lagi khususnya sejak ibu mula mengandung. Puting susu bolehlah dibersihkah dengan air panas atau sabun. Buah dada juga elok diurut menghala ke arah puting. Segala kekotoran pada puting buah dada perlu dibersihkan kerana ini boleh menyebabkan aliran susu tersumbat. Kejayaan penyusuan juga banyak bergantung kepada taraf kesihatan dan pemakanan ibu yang mengandung. Jika ibu mengalami sebarang masalah kesihatan dan masalah kekurangan zat pemakanan, keadaan ini boleh menjejaskan atau mengganggu proses penyusuan. Penting bagi ibu mendapatkan sumbet zat protein yang mencukupi, vitamin serta zat logam khususnya zat besi kerana zat pemakanan ini akan masuk ke dalam air susu bagi memenuhi keperluan bayi.
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, letakkan pada putting susu ibu kerana proses penghisapan akan mempercepatkan dan mempermudahkan pengeluaran air susu. Biasanya pada hari pertama atau hari kedua selepas kelahiran, air susu belum banyak keluar, malah kadang-kadang tidak ada langsung. Saya ingin menegaskan penghisapan putting perlu dilakukan berulang-ulang kali untuk mempercepatkan proses pembentukan air susu.
Pada waktu ini sesetengah wanita mengeluarkan air jernih bukan susu yang digelar colostrums. Ini juga mengandungi khasiat pemakanan yag baik untuk bayi. Pada hari pertama dan berikutnya jika susu ibu tidak mencukupi, bayi boleh diberikan susu botol.
Biasanya susu keluar pada hari kedua atau ketiga, namun demikian ada sesetengah ibu susunya keluar lebih lambat seperti tiga hingga lima hari kemudian. Kelambatan ini tidak perlu dibimbangkan kerana susu pasti akan keluar juga akhirnya.
Bagi ibu yang melahirkan anak sulung, proses penyusuan adalah satu pengalaman baru. Ibu mungkin terasa kekok pada mulanya. Sedutan atau hisapan bayi yang terlalu kuat mungkin menimbulkan rasa sakit. Jika percubaan pertama atau berikutnya masih gagal untuk memberi hisapan yang sepuasnya kepada bayi, kita tidak perlu putus asa dan terus memberhentikan usaha untuk menyusukan bayi. Seperti yang saya nyatakan tadi, jika kita berulang-ulang kali meletakkan bayi pada puting buah dada, dia akan cuba menghisap. Kadangkala bayi berasa hampa dan menangis kerana tidak ada susu yang keluar pada hari pertama dan kedua.
Masalah Ibu Yang Bekerja
Saya sering dapati ibu-ibu yang bekerja mengalami masalah penyusuan khususnya pada waktu bekerja dan ini menjadi faktor utama mengapa ibu-ibu tidak terus memberi susu badan selepas waktu pantang. Ketika ibu bekerja beberapa masalah timbul seperti buah dadanya bengkak kerana penuh dengan susu. Ini menyebabkan susu meleleh keluar dan membasahi bajunya. Sebenarnya masalah ini boleh diatasi jika ibu-ibu mengetahui cara memerah susu.
Jika ibu bekerja, pada waktu yang sepatutnya anak menyusu, bolehlah diperah keluar dengan menggunakan sejenis pam khas untuk menyedut susu ibu. Terdapat berbagai-bagai jenis breast pump di pasaran yang boleh diberli dengan harga antara RM10 hingga RM30. Susu yang disedut keluar di pejabat boleh disimpan dalam botol dan kemudiannya dimasukkan ke dalam peti sejuk. Lakukan ini setiap tiga jam sekali. Apabila hendak digunakan, botol susu tadi direndamkan dalam air panas sebelum diberikan kepada bayi. Dengan ini ibu itu tidak membazir susunya. Memerah susu dengan menggunakan pam susu ini boleh menentukan pengeluaran susu yang berterusan dan menjauhkan masalah susu menjadi kering. Jika terdapat pusat jagaan bayi di pejabat, ini tentulah akan dapat mengatasi masalah yang saya nyatakan tadi dan bayi akan sentiasa mendapat susu ibunya.
Namun projek pusat penjagaan bayi ini belum dapat dilaksanakan di saat ini kerana beberapa masalah. Saya percaya di masa akan datang pihak majikan sama ada kerajaan atau pihak swasta akan menentukan setiap pejabat, kilang dan tempat kerja perlu menyediakan kemudahan untuk jagaan serta menyusukan bayi mereka.
Satu lagi cara yang mungkin boleh dilakukan ialah dengan menghantar susu yang telah siap diperah ini kepada anak yang tinggal di rumah atau pusat jagaan atau ibu sendiri pulang ke rumah menyusukannya sendiri. Ini juga boleh mengelakkan bayi diberi susu lembu semasa ibunya tiada di rumah. Pergantungan bayi terhadap susu lembu menerusi botol kadangkala boleh menyebabkan ia menolak langsung susu ibu. Ini memang menjadi satu masalah kepada ramai ibu yang bekerja. Saya ingin menyatakan di sini susu ibu yang dipam atau disedut keluar boleh disimpan dalam freezer untuk beberapa waktu tanpa rosak atau berubah khasiat dan mutu makanan yang terkandung dalam susu itu. Apabila ia dikehendaki, cairkan dahulu dengan meletakkannya di luar dan kemudian dipanaskan sebelum ia diberi kepada bayi.
Susu Ibu Menjadi Kering
Satu masalah yang sering dihadapi oleh ibu yang menyusukan bayinya ialah pengurangan atau kekeringan susu ibu. Ini berlaku kerana bayi semakin kurang menghisap yang kerapkali terjadi di kalangan ibu yang bekerja. Tekanan sama ada fizikal seperti masalah pekerjaan, atau tekanan emosi seperti kesedihan memang boleh menyebabkan gangguan pada pengeluaran air susu. Makanan ibu yang kurang khasit dan kurang berzat juga boleh menjadi sebab. Penting bagi ibu yang menyusu memakan sumber-sumber makanan yang mengandungi banyak protein, zat-zat vitamin dan logam. Pil pencegah hamil boleh juga menyebabkan kekeringan atau pengurangan dalam pengeluaran susu.
Untuk mengatasi masalah ini perlu bagi wanita yang bekerja serta ingin terus menyusukan bayinya memerah susunya tiga atau empat jam sekali. Tentukan juga ia tidak menghadapi sesuatu masalah atau tekanan hidup di samping menentukan makanannya bermutu serta berzat.
Suntikan hormon kontraseptif khususnya Uni Depi dan Norigest yang mengandungi progesterone dikatakan boleh membanyakkan pengeluaran susu.
Sesetengah firma telah mengeluarkan beberapa jenis ubat yang mereka katakana boleh melebihkan pengeluaran susu tetapi saya jarang-jarang sekali memberi prescription supaya menggunakan ubat-ubat ini. Mengikut amalan tradisional pula, jika seseorang ibu mengalami masalah kekeringan susu, mereka dinasihatkan supaya memakan daun turi sama ada dimakan secara ulam, direbus atau dibuat sayur. Petua tradisi ini agak berkesan, tetapi bagaimana ia bertindak tidaklah diketahui. Mungkin satu kajian perlu dilakukan untuk menentukan benarkah daun ini boleh menyebabkan pengeluaran air susu lebih banyak dan apakah bahan-bahan yang mungkin terkandung dalamnya sehingga ia boleh menyebabkan keadaan demikian?
| < Prev | Next > |
|---|




















