Jarang kita mendengar kisah tentang kandungan di luar rahim yang boleh
sampai ke peringkat bayi cukup bulan dan akhirnya selamat dilahirkan. Kebanyakan daripada kandungan di luar rahim berlaku pada saluran fallopian. Apabila ini berlaku biasanya saluran fallopian akan pecah ekoran daripada
proses pembesaran kandungan tersebut. Ini menyebabkan perdarahan yang banyak yang boleh mengancam nyawa ibu
dan biasanya ibu yang hamil itu akan mengalami perdarahan di luar sedikit demi
sedikit dan kesakitan perut yang amat sangat serta berlakunya pitam.
Saya juga pernah menemui di mana kandungan di luar rahim yang berlaku pada kilang ovari atau kilang telur. Ini akhirnya juga akan pecah kerana kilang ini kecil dan tidak boleh menampung kehamilan yang sedang membesar. Adakalanya berlaku kehamilan pada lemak perut (omentum). Jika ini berlaku, ada kemungkinan ia boleh terus membesar hingga ke cukup bulan. Lemak perut atau omentum ini biasanya mempunyai saluran dan bekalan darah yang mencukupi untuk menampung proses pembesaran janin sehingga ke peringkat hampir cukup bulan.
Saluran fallopian sempit.
Ini adalah satu kisah Puan L yang telah mempunyai dua orang anak berumur 9 dan 13 tahun. Selepas itu beliau mengalami masalah untuk hamil lagi iaitu masalah ketidaksuburan. Apabila di siasat beliau didapati mengalami masalah saluran fallopian yang amat sempit dan hampir tersumbat. Beliau kemudiannya menjalani satu pembedahan melalui laparoscopy dan mini-laparotomy untuk memperbaiki saluran tersebut yang telah mengalami kerosakan akibat jangkitan kuman di satu masa dahulu. Disamping itu rahim beliau telah jatuh ke belakang atau 'retroverted'. Dalam pembedahan ini rahim beliau juga diperbetulkan kepada kedudukan yang normal.
Hamil pada lemak usus.
Selepas beberapa bulan selepas pembedahan, beliau disahkan mengandung. Biasanya sesiapa yang mengalami ketidaksuburan dan pernah mengalami rawatan secara pembedahan, saya akan awasi perkembangan kehamilan mereka ini termasuklah Puan L. Dalam pemeriksaan air kencing, kita dapati beliau disahkan mengandung tetapi bila dilakukan 'ultrasound scanning' pada rahimnya ia didapati kosong, ertinya tidak ada kandungan dalam rahimnya. Tetapi hakikat sebenarnya beliau sudah hamil.
Setelah sampai ketiga bulan, saya dapati bahawa kandungannya sah berada di luar rahim tetapi masih hidup dan janinnya terbentuk seperti biasa dengan denyutan jantung serta pergerakan janin dapat dikesan selepas dua bulan kandungan. Dari awal lagi saya mengesyaki bahawa kandungan beliau terletak di luar rahim iaitu di bahagian lemak perut (omentum) dan saya berkeyakinan bahawa kehamilan ini akan dapat diteruskan.
Pembedahan Cesarean
Saya awasi dengan begitu rapi sekali dan didapati pertumbuhan bayi dalam kandungan di luar rahim mengikut jadual biasa. Tidak berlaku apa-apa masalah dalam kandungan beliau seperti berlakunya perdarahan atau lain komplikasi seperti keracunan. Tetapi sampai ke lapan bulan kandungan pertumbuhan bayi mulai terganggu, iaitu bayi tidak tumbuh lagi. Akhirnya saya membuat keputusan untuk melakukan pembedahan bagi melahirkan bayi pada kandungan 36 minggu, iaitu sebulan sebelum dijangkakan lahir. Alhamdulillah, pembedahan ini dilakukan dengan biasa dan dengan selamat. Bayi beliau selamat dan tidak mempunyai apa masalah dari segi pernafasan atau lain-lain.
Uri dibiarkan dalam perut.
Saya tidak boleh mengeluarkan uri kerana urinya melekat pada usus dan lemak perut. Oleh itu saya biarkan saja, saya hanya potong tali pusat dan ikat supaya mencegah dari berlakunya pendarahan di dalam. Selepas pembedahan tidak ada sebarang kerumitan atau kesulitan berlaku, hanya satu-satu masalah, iaitu perutnya masih besar lagi kerana urinya masih tinggal dalam perut. Ini menjadi satu tugas untuk mengawasinya dan menentukan tidak ada masalah lain seperti jangkitan kuman. Saya berharap agar badan beliau akan sendiri menyerap uri tersebut.
Sel-sel darah menyerap uri.
Sistem tubuh badan kita memang aneh, ia boleh membersihkan sesuatu sampah atau benda-benda yang tidak diingini. Begitu juga uri ini tidak diperlukan oleh badan Puan L. Jadi ia sedikit demi sedikit ia dibersihkan, iaitu diserap oleh system pembersihan kumuh yang terdiri daripada sel-sel phagocytes. Saya anggarkan dalam kes Puan L ini ia akan memakan masa lebih daripada enam bulan untuk uri itu hilang daripada perutnya. Akhirnya selepas lebih daripada enam bulan saya melakukan scanning dan didapati bahawa rahimnya seperti biasa dan urinya tidak dapat dikesan lagi, makna ia telah selesai diserapkan oleh tubuh badannya.
Kisah luarbiasa.
Ini adalah satu kisah yang berlaku satu dalam sejuta kehamilan. Mungkin kehamilan sedemikian pernah berlaku tetapi mungkin ia tidak dapat dikesan diperingkat awal. Kebanyakkan hanya disedari waktu sakit bersalin dan akhirnya bayi mati dalam perut. Dalam kisah ini saya dapat mengesan kandungan luarbiasa ini di peringkat awal lagi dan telah bersedia tentang kemungkinan bayi itu terancam dalam dua bulan terakhir kandungan.
Sebagai kaedah rawatan.
Iktibar daripada kes ini ialah bahawa jika Allah berkehendak tidak mustahil kehamilan ini berlaku. Seperti juga dalam kisah Mariam, ibu Nabi Isa, yang hamil tanpa bapa. Jadi perkara-perkara yang luar biasa boleh berlaku dengan kehendak Allah dan ini menimbulkan satu kemungkinan bagi wanita-wanita yang tidak ada rahim sejak ia dilahirkan ataupun selepas menjalani pembedahan akibat daripada penyakit pada rahimnya, mereka ini masih boleh mengandung pada lemak perut seperti dalam cerita Puan L. Ini satu kemungkinan yang perlu disiasat lebih lanjut lagi.
| < Prev | Next > |
|---|
















