Mengapa Pilih Jadi Pakar Bidan?
Sekarang ini murid-murid lepasan sekolah menengah tidak menghadapi banyak masalah untuk memilih kerjaya mereka berbanding zaman sekolah saya dulu.
Panduan memilih jurusan atau kerjaya terdapat di mana-mana termasuk di sekolah, di media cetak atau elektronik serta di dalam seminar atau kursus yang dianjurkan pihak kerajaan atau swasta. Kadang-kadang murid jadi pening dan bingung untuk memilih kerjaya kerana terlalu banyak nasihat dan petunjuk.
Ada pula yang kerjayanya telah ditentukan oleh ibu-bapa mereka kerana inginkan sangat anak-anak mereka jadi doktor, jurutera atau peguam. Ada pula yang terpengaruh setengah personaliti di kaca televisyen atau majalah-majalah. Saya ada terdengar ibu-bapa yang mengatakan anak mereka bercita-cita untuk menjadi seperti Dr. Hamid Arshat. Saya bukan bertujuan untuk bermegah atau bongkak, tapi ini satu kenyataan ekoran dari kemunculan saya yang sering di kaca televisyen sejak tahun lapan puluhan.
Mereka ini ingin mengikuti jejak saya mungkin hendak glamour, dan bukan betul-betul faham bagaimana pahit maung hendak jadi seorang doktor pakar.
Saya tidak keberatan jika digunakan sebagai sumber inspirasi bagi pelajar-pelajar. Malah saya rasa gembira kerana ini akan mendorong anak-anak untuk rajin berlajar. Tetapi jangan beranggapan bila jadi doktor akan menjadi kaya, masyhur dan glamour. Jika berfikir demikian banyak akan hampa. Contohnya anak saya sendiri, lepas S.P.M. beliau telah ditawarkan biasiswa untuk belajar di luar negeri dalam jurusan kejuruteraan. Beliau berfikir sejenak dan mengatakan kepada saya yang dia lebih suka memasuki jurusan perubatan. Saya nasihatkan untuk berfikir masak-masak dan sembahyang tahajud untuk mendapat panduan Allah s.w.t. Akhirnya beliau memutuskan untuk menukar biasiswa dari jurusan kejuruteraan kepada perubatan sedangkan ada beberapa rakannya terus belajar dalam bidang kejuruteraan. Sekarang ini bila dia lihat rakannya yang jurutera menyandang jawatan dengan syarikat multi-nasional dan bergaji besar dia mengeluh dan menunjukkan tanda-tanda menyesal atas pemilihannya. Menyesal kemudian tidak berguna.
Bagi mereka yang teringin menjadi doktor dan seterusnya hendak menjadi pakar bidan, nanti suatu hari saya akan ceritakan kisah saya sebagai panduan , insyaallah . Ramai yang menjadi doktor akhirnya tidak mengamalkan kedoktorannya, mereka memilih lain-lain jurusan kerja. Mungkin mereka tidak mengetahui apakah sebenar kerja seorang doktor. Saya pun diperingkat awal kerjaya saya pernah mengeluh dan bertanya diri saya mengapalah saya pilih jadi doktor , khususnya ketika saya menjalani apa yang digelar "housemanship". Saya telah mendapat ijazah kedoktoran dari Universiti Malaya pada tahun 1970. Ketika menjadi mahasiswa perubatan saya dianggap perlajar yang elit atau "cream", maklumlah ketika itu tidak ramai pelajar melayu dalam bidang kedoktoran. Dalam kelas saya seramai 80 mahasiswa hanya terdapat 4 pelajar melayu sahaja.
Lepas itu saya tidak dikenakan pula kursus pre-medik selama setahun dan ini memendekkan tempuh kursus selama 5 tahun sedangkan banyak rakan-rakan yang kena 6 tahun. Wah! Bukan main hebat dan glamourlah saya dikalangan mahasiswa-mahasiswa melayu dikampus. Tapi ini tidak menjadikan saya sombong diri, malah saya banyak bergaul dengan mahasiswa-mahasiswa bukan perubatan.
Bila sudah menerima ijazah dan ditempatkan bekerja sambil berlatih (houseman) di Hospital Besar Melaka saya ditugaskan dalam bidang perubatan umum selama 6 bulan dan bidang bedah selama 6 bulan. Masa itu memang sedikit sahaja bilangan doktor dan ini menyebabkan saya diletakkan dalam tugas"on call" selang sehari kerana kekurangan doktor. Ini menyebabkan ada kalanya saya perlu bertugas selama 72 jam tanpa berhenti. Masa itu gajinya pun sangat rendah 600 ringgit sahaja.
"Bila sudah kena kerja malam sampai larut pagi dan kena panggil pula untuk merawat pesakit pada pukul 2 pagi dan baru sahaja hendak baring untuk melelapkan mata sekejap, inilah ketikanya otak saya berfikir dan bertanya mengapa saya pilih jadi doktor sedangkan ramai rakan-rakan yang lulus dengan ijazah sastera menjadi pegawai tinggi kerjaan , siap dengan pejabat mereka yang berhawa dingin dan lantai berpermaidani."
Saya kena kerja macam buruh tengah malam, bukan sahaja pejabat tidak ada, malah meja dan kerusi pun tidak ada. Malang sungguh rasanya, kalaulah saya buat jurusan sastera tentulah saya menikmati segala kemudahan seperti rakan-rakan saya di jurusan sastera. Kadang-kadang timbul perasaan menyesal seperti yang dirasai oleh anak saya juga.
Kalau saya kenang bagaimana saya memilih jadi seorang doktor, lucu juga ceritanya tetapi semuanya telah ditentukan oleh Allah s.w.t.. Saya dilahirkan di Parit Pinang Seribu, Muar, Johor pada 4 hb January 1945, anak kepada seorang penoreh getah. Arwah bapa saya tidak tahu menulis pun, tetapi beliau mempunyai suara yang lunak dan beliau juga jadi bilal masjid di kampung saya, mungkin sebab suaranya yang sedap didengar. Beliau rajin berkerja, pukul 3 pagi sudah bangun untuk menoreh getah, masa itu beliau menggunakan lampu obor. Abang-abang saya pun pandai menoreh tetapi saya tidak begitu mahir. Jika saya menoreh bapa saya akan mengeluh kerana pokok getahnya jadi rosak.
Saya masih ingat saya mula bersekolah ketika umur saya 5 tahun , ketika itu sekolah atap di kampung. Saya pun ingat tapak sekolah itu diwakafkan oleh ketua kampung iaitu Haji Munip. Saya kena jalan kaki sejauh sebatu kerana tidak punya kenderaan. Pernah saya tumpang naik basikal , kata orang jawa "bonceng", tetapi malangnya kaki saya terkena lidi tayar basikal, menyebabkan luka yang akhirnya jadi "abscess" dan bernanah agak lama juga sebelum sembuh. Emak saya kena buat "dressing" dengan air panas dan lepas itu kena tampal ubat herbal pada luka. "Ooi sakit sungguh!", Pernah mak ngah saya yang cuba basuh luka, saya gigit bajunya sampai koyak. Sampai sekarang mak ngah saya masih ingat peristiwa itu.
Manalah terfikir seorang budak kampung , anak seorang penoreh getah dan belajar di sekolah atap mampu belajar untuk menjadi seorang doktor, lepas itu jadi pakar bidan pula.
Tidak boleh dibayangkan ketika itu. Saya masih ingat zaman itu kita masih diperintah oleh orang inggeris. Jadi kalau hendak maju mestilah kena belajar di sekolah inggeris. Mana budak jawa dari kampung yang cakap melayu pun berbunyi macam jawa boleh masuk sekolah inggeris.
Ketika itu kalau hendak masuk sekolah inggeris kita kena masuk apa yang digelar "special malay class". Kita kena menjalani satu peperiksaan khas ketika dalam darjah 3 sekolah rendah. Saya disyorkan oleh guru besar Cikgu Sidek, untuk menjalani peperiksaan tersebut tetapi saya cabut kerana takut.
Dalam darjah 4 saya ditawarkan sekali lagi masuk periksa, kali ini saya pergi juga ke bandar Muar untuk menjalani periksa tersebut. Bila keputusan periksa telah diperolehi oleh pihak sekolah, guru besar datang ke rumah untuk beritahu. Bila beliau sampai saya lari menyorok bawah tangga kerana takut. Saya telah lulus dan pergi sambung sekolah di bandar Muar. Maklum anak kampung yang jarang ke bandar, hari pertama pergi sekolah menangis kerana takut. Ada hamba Allah yang baik hati arwah Hashim bawa saya dalam keretanya dan hantar saya ke sekolah di bandar Muar.
Dari seorang budak kampung yang biasa hidup di bawah tempurung, perubahan terbesar dalam hidup saya ialah bila saya terpilih masuk ke Maktab Tentera DiRaja , ketika itu di Port Dickson sebelum pindah ke Sungai Besi. Untuk masuk ke maktab tersebut pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga dari seluruh malaysia kena menjalani beberapa ujian mental dan fizikal. Banyak peringkat penapisan dilakukan dan percubaan pertama untuk masuk ke tingkat 3 di maktab tentera gagal . Tetapi nasib baik tahun berikutnya iaitu pada tahun 1960 saya berjaya masuk ke tingkatan 4.
Di maktab inilah perubahan dan pembangunan mental dan keperibadian berlaku secara positif. Saya diajar disiplin hidup, mula-mula segala program kita sesuaikan dengan loceng, setiap aktiviti akan pasti mulakan dengan bunyi loceng. Hendak bangun pagi terdengar bungi "bugle" seperti trumpet, ini memang kaedah hidup askar. Selain dari pelajaran akademik , kita diajar berbaris, menembak senapang, merentas hutan dan berbuat berbagai aktiviti secara sendirian dan berkumpulan. Tegasnya kita diajar berdikari. Ramai rakan-rakan saya yang akhirnya menjawat jawatan-jawatan tertinggi kerajaan , malah di suatu pada ketika serentak ada lebih kurang 10 orang ketua-ketua setiausaha kementerian adalah terdiri dari bekas "budak boy" ( itu gelaran kita kerana kita dalam "Boys Wing", sedangkan mereka yang akan jadi pegawai tentera kena masuk Cadet Wing ) atau "old putera". Sampai hari ini jawatan ketua setiausaha negara atau K.S.N. adalah disandang oleh bekas "budak boy".
Di maktab tentera saya masuk jurusan sains, tidak ramai pelajar-pelajar melayu ketika itu. Memang dari kecil saya pandai sikit dalam bidang matematik. Mungkin di dekan di waktu sekolah kampung lagi saya telah didisiplinkan oleh guru. Bila saya tidak hafal sifir saya kena hukum , kedua tangan pegang telinga bersilang dan kena henjut badan turun naik.
"Di sekolah inggeris di Muar , jika saya tidak boleh jawab soalan guru matematik , Mr. Sabapathy dia akan tunjuk penumbuk di depan muka saya seraya berkata I will punch your nose flat."
Kita pun takut menggeletar dan tiada pilihan melainkan rajin berlajar dan buat banyak latihan matematik. Mungkin perkara-perkara tersebut mendorong saya jadi baik dalam bidang sains.
Lepas peperiksaan "Senior Cambridge" saya dapat keputusan agak baik untuk zaman itu, hanya saya lemah bahasa inggeris, maklumlah anak jawa. Saya ada pilihan hendak terus belajar ke tingkatan enam atau bekerja. Saya minta pandangan bapa saya, dia seorang kampung tidak kenal huruf rumi tetapi boleh baca jawi, katanya,
"Hamid carilah kerja kerani".
Bapa saya bukan faham tentang masuk universiti. Saya terus masuk tingkatan enam sains biology, di maktab tentera. Sehingga ke peringkat ini tidak tahu lagi apa jurusan hendak dipilih. Dalam hati saya berkata
"Mungkin baik ambil jurusan pertanian , aku ni anak kampung, nanti boleh bantu bapa dengan kebunnya".
Setelah keputusan H.S.C. diumumkan, saya di antara pelajar yang mendapat keputusan terbaik. Sampai waktu hendak minta biasiswa, waktu itu kerajaan menghantar ramai pelajar-pelajar jurusan sains dan perubatan keluar negeri.
"Saya tidak tahu apa nak minta, guru sains saya Mr. T. T. Oomen nasihatkan saya minta jurusan perubatan kerana result saya baik."
Pergilah ketemuduga, bila ditanya tentang tugas doktor tidak tahu apa nak jawab. Ramai kawan-kawan saya yang keputusan periksa mereka tidak sebaik seperti saya dapat biasiswa keluar negeri di bawah tajaan "Colombo Plan" , saya tidak berjaya kerana jahil tentang kedoktoran. Tetapi sebagai "consolation" saya ditawar apa yang digelar "bursery" yang nilai bantuan kewangan hanya separuh biasiswa untuk belajar di fakulti perubatan , universiti malaya. Saya terima tawaran tersebut dengan sedih hati tapi tidak patah hati. Saya diterima masuk terus ke tahun satu fakulti perubatan.
Sehingga ke akhir persekolahan saya tidak tahu jurusan kerjaya apa yang hendak dipilih. Tetapi saya percaya apa yang telah berlaku pada diri saya telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
( Bersambung)
| < Prev | Next > |
|---|



















