Dilemma Jadi Bidan

E-mail Print PDF
Setelah kian lama iaitu lebih 30 tahun menjadi seorang doktor pakar bidan lelaki, sekarang mulalah timbul dari sanubari saya samaada apa yang saya lakukan dan amalkan itu dihalalkan oleh agama Islam.

    Saya dalam dilemma dan sedang mencari-cari sumber rujukan yang mungkin mengandungi fatwa tentang kedudukan doktor bidan lelaki. Saya sedang mempelajari Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. seraya mencari jika ada nas-nas yang boleh memandu saya. Tetapi pengetahuan saya tentang ilmu Quran sangat cetek dan tidak mencukupi, namun saya masih teruskan usaha untuk mencapai maksud . Insyaallah satu hari kelak saya akan dapat jawapan.

    Walau demikian saya sentiasa berdoa serta memohon keredhaan Allah s.w.t., mudahan saya mendapat ganjaran baik dan dimasukkan dalam golongan hamba yang bertaqwa.

    Setelah menjangkau ke umur enam puluhan , saya rasa semakin dekat dengan destinasi , iaitu pertemuan dengan Pencipta saya Allah s.w.t. Pertemuan ini adalah benar dan tidak boleh dielak dan bila sampai waktu, setiap insan akan menemui ajal dan saat ini tidak boleh ditangguh atau dikedepankan. Dialam baqa’ perkara-perkara penting yang akan dikira ialah, amalan baik kita, sedekah dan jariah dan ilmu yang dimanfaatkan.

    Dalam usaha untuk meninggalkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, saya sedang mengatur beberapa langkah untuk mencapai kearah demikian.

    Menjadi tabib atau doktor adalah satu pekerjaan murni kerana doktor berusaha menyembuhkan pesakit, walaupun ada kalanya kita gagal untuk menyembuhkan sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan penderitaan dan kesakitan. Sekarang ini bidang rawatan , bukan sahaja melibatkan bahagian fizikal atau tubuh badan , tetapi juga merangkumi aspek-aspek emosi dan mental serta jiwa dan rohani.

    Oleh itu doktor sekarang bukan sahaja perlu mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang perubatan moden , malah juga perlu ilmu pengetahuan saikologi dan agama bagi menangani berbagai jenis penyakit. Pengadunan atau integrasi bidang-bidang ilmu tersebut dalam mendekati pesakit-pesakit adalah kaedah yang terbaik dan berkesan.

   Inilah kaedah pendekatan yang saya sendiri cuba mengamalkan tetapi kelemahan saya dalam ilmu agama islam masih perlu diperbaiki. Sekarang banyak usaha dari berbagai pihak untuk melatih bakal doktor dengan pendekatan tersebut.

 

Pesakit wanita islam

Sebaiknya pesakit-pesakit wanita dirawat oleh doktor wanita islam dan ini menjadi tanggung jawab setiap muslimah untuk melaksanakan. Dalam keadaan-keadaan tertentu seperti darurat, pilihan kedua ialah doktor lelaki islam. Doktor-doktor bukan islam menjadi pilihan terakhir. Menyusuli garis panduan ini ,

"Patutkah doktor-doktor lelaki menjadi pakar bidan dan sakitpuan?"

   Inilah dilema saya. Walau demikian saya cuba atasi perasaan ini dengan niat yang ikhlas untuk membantu kaum wanita yang memerlukan dan percaya kepada kemampuan saya. Jika saya seorang doktor wanita islam, mungkin lebih ramai lagi pesakit wanita akan menemui saya. Tetapi saya bersyukur kepada Allah s.w.t. saya ini seorang lelaki yang telah dianugerahkan dengan bermacam nikmat yang tidak terhingga.

   Pesakit-pesakit wanita masih mahu berjumpa dan percaya kepada saya. Walau pun pilihan utama bagi wanita ialah doktor wanita, namun ada dikalangan mereka yang lebih selesa dengan doktor lelaki. Saya pun tidak faham mengapa kaedaan seperti ini berlaku. Ini adalah pilihan masing-masing yang mungkin berasaskan atas beberapa faktor.

   Setiap insan mempunyai hak sendiri untuk memilih sesuatu. Tetapi bagi wanita muslim pengaruh luar yang terpenting ialah pilihan atau keputusan suami. Seringkali suamilah yang memilih doktor bagi wanita tersebut. Pernah saya buat satu kenyataan dalam satu majalah wanita pada tahun 1994 tentang sebab-sebab mengapa ramai wanita memilih doktor lelaki. Ekoran dari kenyataan saya tersebut ada setengah doktor wanita yang tidak senang hati dan membuat aduan dan melapurkan kapada Majlis Perubatan Malaysia yang seterusnya menuduh saya melanggar etika perubatan, lantaran meletakkan saya dalam kesulitan. Suatu hari kelak akan saya ceritakan sepenuhnya peristiwa ini.

    Kepercayaan atau keyakinan terhadap seorang doktor bukan atas popularitinya tetapi biasanya dari ”recommendation” atau syor dari pesakit-pesakit lain yang telah berasa puas-hati dengan rawatan saya. Pesakit-pesakit yang berjaya dirawat dan berasa puas hati serta gembira akan memberitahu kepada rakan-rakan, ahli-ahli keluarga serta orang lain tentang khidmat saya. Ini akan tersebar dengan sendiri dari mulut ke mulut lain. Ramai di kalangan pesakit-pesakit saya yang membawa saudara-mara dan teman-teman untuk mendapat rawatan dari saya.

   Sekarang ini bukan sahaja saya telah menyambut kelahiran anak-anak mereka, malah saya juga telah menyambut kelahiran cucu-cucu mereka.

   Beginilah kaedah ”iklan” yang berlaku di kalangan doktor-doktor, iaitu sama kaedahnya seperti perniagaan lain. Tetapi saya ingin menekankan bahawa khidmat perubatan bukan suatu perniagaan , hanya kita mendapat upah yang telah ditetapkan kadarnya oleh Persatuan Doktor-doktor Perubatan bagi perkhidmatan pakar.

Keyakinan pesakit terhadap doktor bukan hanya kerana ilmu dan kemahiran yang ada pada doktor tersebut , tetapi juga dipengaruhi oleh tata-tertib, tingkah laku, budi-bahasa dan akhlaknya. Dalam kata-kata atau istilah perubatan perkara ini digelar ”good bedside manners”. Doktor-doktor yang mudah senyum, suka berbincang tentang segala masalah yang dikemukakan oleh pesakit, ramah dan mesra, bersimpati dan bertolak-ansur serta mudah didampingi tentulah akan dikunjungi oleh ramai pesakit-pesakit.

   Malangnya ada juga doktor yang tidak memenuhi ciri-ciri tersebut , mungkin bukan sebab perwatakan mereka tetapi disebabkan oleh beban kerja yang terlalu banyak dan mendesak seperti yang berlaku di hospital dan klinik kerajaan.

Hubungan doktor dengan pesakit.

Berbalik kepada isu wajarkah seorang wanita mendedahkan aurat dan bahagian sulitnya untuk diperiksa dan dirawat oleh doktor lelaki. Dalam kaedaan biasa iaitu tidak ada penyakit, memanglah tidak wajar dan haram hukumnya. Tetapi dalam kaedaan sakit dan darurat ia diharuskan dengan syarat ada kebenaran darinya dan suami atau jika belum berkahwin dari ibu atau bapanya.

      Ramai orang bertanya apa perasaan saya apabila memeriksa kemaluan dan peranakkan wanita. Adakah ia menimbulkan ghairah atau lainnya? Biasanya apabila berdepan dengan situasi demikian, minda saya akan terus memikirkannya sebagai tugas dan pelaksanaan tanggung jawab serta kepercayaan yang diberikan kepada saya. Biasanya saya mulakan dengan bacaan bismillah untuk mendapat perlindungan Allah dari godaan syaitan. Seorang jururawat wanita mesti berada disamping saya untuk membantu serta mengelakkan dari fitnah.

  Memang tidak boleh disangkal bahawa setengah wanita mempunyai tubuh yang amat cantik. Saya percaya kaedaan seperti ini akan menggoda orang lelaki biasa tetapi sebagai doktor yang merawat, saya terpaksa menumpukan minda ke arah penyakitnya bukan kecantikan tubuhnya. Sebelum melakukan pemeriksaan, jururawat pembantu akan menyediakan pesakit wanita dalam suatu kedudukan di mana pesakit tersebut tidak terdedah dan bahagian yang perlu diperiksa sahaja yang didedahkan. Dalam lain-lain perkataan kita tidak mededahkan aurat pesakit wanita dengan sewenang-wenang.

     Hubungan antara doktor dengan pesakit wanita perlu dikekalkan sebagai hubungan professional tanpa mencetus hubungan cinta atau asmara. Etika ini patut dihormati oleh kedua-dua pihak. Seperti murid dengan guru adalakalanya murid jatuh cinta dengan gurunya atau sebaliknya. Mengikut etika perguruan, jalinan cinta antara murid dengan guru tidak sepatutnya dibenarkan, tapi banyak yang menghasilkan perkahwinan.

      Di setengah negara barat, seseorang doktor yang menjalinkan hubungan cinta atau berkahwin dengan pesakitnya boleh didakwa dan munkin ditarik balik lesen pengamal perubatannya. Di negara kita saya belum pernah mendengar kes seperti ini.

Seorang doktor pakar bidan seperti saya telah ditempatkan di satu kedudukan yang dipercayai oleh para suami atau ibu bapa untuk memeriksa serta mengendalikan rawatan bagi pesakit wanita. Ini adalah satu keistimewaan dan penghormatan dan saya tidak boleh menyalah-gunakan kedudukan ini.


Menyimpan rahsia pesakit

    Selain dari aduan tentang penyakit tubuh badan, pesakit-pesakit wanita sering juga akan meluahkan perasaan mereka serta menceritakan masalah-masalah suami isteri, dengan anak dan saudara mara, masalah kerja dan dengan rakan serta teman. Segala maklumat tentang pesakit adalah rahsia dan saya atau kakitangan klinik tidak ada hak untuk menceritakan atau mendedahkannya kepada sesiapa, walhal kepada isteri saya pun.

Wanita memang banyak cerita, hanya kebiasaannya doktor tidak cukup masa untuk mendengar kesemuanya sebab perlu melayan ramai pesakit. Walau demikian seringkali saya suka berbual dengan pesakit atau suaminya tentang perkara lain dari penyakitnya.

    Di antara perkara yang perlu dirahsiakan ialah kandungan luar nikah yang mana saya perlu menyambut kelahiran serta mengaturkan anak diangkat oleh satu pasangan suami-isteri yang mandul. Ada juga dikalangan pesakit yang menjadi isteri kedua atau ketiga kepada sipulan yang mungkin terdiri dari orang-orang ternama dan ini perlu dirahsiakan.


Cerita-cerita tentang masalah-masalah hubungan seks sering saya dengar dan jika mampu saya selesaikan sendiri , tetapi ada kalanya saya perlu merujuk masalah-masalah seperti ini kepada pakar-pakar lain. Perkara ini juga perlu dirahsiakan kerana ia melibatkan martabat seseorang.

    Menyimpan rahsia bukanlah senang. Memang telah menjadi budaya masyarakat kita untuk mendedahkan perbadi orang lain khususnya tentang keburukkan mereka. Adakala saudara dan teman menalipon saya tentang perihal pesakit tertentu. Biasanya saya hanya akan beritahu jika yang bertanya adalah suami atau ibu bapa pesakit. ( Bersambung)

Last Updated ( Monday, 12 February 2007 08:20 )  

Iklan

mysetbersalin

Bellaposhbowtique.com

 Mangkuk Tingkat

Kedai Buku Online

Login Ahli

Who's Online

We have 15 guests and 3 members online

Statistik

Total Members : 12014
Latest Member : whyda
Today : 8 Registers
This Week : 70 Registers
This Month : 44 Registers
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday4705
mod_vvisit_counterYesterday5953
mod_vvisit_counterThis week34547
mod_vvisit_counterLast week45356
mod_vvisit_counterThis month16698
mod_vvisit_counterLast month158501
mod_vvisit_counterAll days7978598

Your IP: 38.107.191.100
 , 
Today: Sep 03, 2010

Lokasi Kami


View Business Listing in a larger map

Hubungi Kami

     Klinik Dr. Hamid Arshat
     75M Medan Setia Satu,
     Plaza Damansara, Bukit Damansara,
     50490 Kuala Lumpur,
     Malaysia

Telefon temujanji:

  • 603 - 2094 5800
  • 603 - 2094 5262
  • 603 - 2094 1115
Faks : 603 - 2094 9402
E-mail:
  • hamidarshat@hotmail.com