MW
Bil 871 28 Julai-4 Ogos 2000
PAK BIDAN OH PAK BIDAN
www.timang.org
Kelolaan SITI ZARINAH HUSAIN
Oleh: Prof. Datuk Dr. Hamid Arshat
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan
Jika setiap kali wanita mengandung kemudian gugur, bakal suami atau isteri,
akan dikaji.
KEGUGURAN merupakan salah satu fenomena yang biasa. Bagaimanapun, keguguran
merupakan sesuatu yang amat ditakuti bagi setengah-setengah wanita. Ada yang
berpendapat, kalau boleh setiap kali mengandung, biarlah sehingga bayi yang
dikandung selamat dilahirkan.
Ada di kalangan wanita mengandung dan mengalami keguguran berulang kali. Ikuti
penerangan selanjutnya berdasarkan soal-jawab bersama Datuk Dr. Hamid Arshat.
SOALAN: Jika seseorang wanita mengandung dan kemudian
mengalami keguguran berulang kali, apakah ini merupakan sesuatu yang normal?
JAWAPAN: Wanita yang mengandung kemudian gugur,
ia sebenarnya perkara biasa. Tetapi jika ia berlaku sekurang-kurangnya sehingga
tiga kali berturut-turut, wanita ini mempunyai masalah dari segi kesuburan.
Khususnya bagi wanita yang masih belum dikurniakan zuriat. Maksudnya setiap
kali wanita ini mengandung, dia mengalami keguguran.
Keguguran yang berlaku biasanya wanita mengalami pendarahan. Pendarahan ini
berlaku lebih banyak dari pendarahan haid. Namun ada juga yang mengalami
pendarahan sedikit sahaja. Bagaimanapun, tak semestinya keguguran berlaku mengeluarkan
darah.
SOALAN: Bagaimana pula yang dikatakan keguguran
berlaku tanpa mengakibatkan pendarahan?
JAWAPAN: Jika pusingan haid seseorang wanita
itu teratur, iaitu sebulan sekali, kemudian jika mengalami kelewatan haid seminggu
misalnya, dia sudah boleh mengadakan ujian air kencing.
Jika ujian air kencing didapati positif, bererti wanita itu mengandung. Selepas
dua minggu, doktor boleh melakukan scan ke atas kandungan wanita itu. Melalui
scan tersebut, segumpal daging akan kelihatan dan di bahagian tengahnya ada
denyutan jantung.
Tanda sedemikian akan kelihatan paling lewat sekalipun, dua bulan kandungan
ia sudah boleh dilihat melalui scan. Namun, jika denyutan jantung itu tidak
dapat dilihat sewaktu scan, biasanya , kandungan itu tidak dapat diteruskan.
Biasanya doktor akan memberi tempoh sehingga tempoh dua minggu lagi. Khususnya
untuk wanita yang mempunyai pusingan haid tidak teratur.
Bukan semua orang mengalami pendarahan sewaktu keguguran. Ada kalangan wanita
tidak mengalami pendarahan sebagai tanda dia mengalami keguguran. Contohnya,
jika doktor melakukan scan, kandungan tidak membesar atau janin didapati tiada,
walaupun tiada turun darah. Perkara ini menyebabkan orang percaya kandungan
dimakan bunian.
SOALAN: Apakah tanda-tanda tertentu yang boleh
menjadi petunjuk bahawa kandungan seseorang wanita itu kuat, atau tidak mudah
mengalami keguguran?
JAWAPAN: Sebenarnya menilai kandungan kuat
atau tidak, kalau wanita mengandung mengalami loya dan muntah lagi bagus. Maknanya
hormon kandungannya itu tinggi, kalau tiada tanda, kadang-kadang kandungan boleh
terancam, dan menghadapi banyak masalah. Jadi bagi wanita yang mengandung jangan
pandang perasaan loya dan tiada selera makan sebagai sesuatu yang negatif.
SOALAN: Apakah faktor yang menjadi penyebab kepada
keguguran?
JAWAPAN: Sebenarnya kalau mengikut kajian, sebahagian
besar wanita menganduang mengalami keguguran mungkin bakanya, iaitu kromosom
atau gen ada mengalami kerosakan.
Tak semestinya menandakan baka di pihak suami atau isteri mengalami kerosakan,
tetapi ketika di dalam proses percantuman benih dan telur berlaku kesalahan.
Akibatnya benih dan telur bercantum akan rosak dan akan berlaku keguguran.
Jika setiap kali wanita mengandung kemudian gugur, baka suami atau isteri, akan
dikaji. Kadang-kadang salah satu kromosom mereka abnormal. Jika ia berlaku,
keadaan ini tidak dapat dibaiki.
Pasangan sedemikian tiada jalan lain selain mengambil anak angkat. Bayi tabung
uji boleh dilakukan dengan menggunakan benih penderma, namun kaedah ini tidak
dibenarkan dari segi undang-undang dan agama Islam.
Faktor kedua:
Mungkin juga penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan endometriasis
(rahimnya jatuh ke belakang), dan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran berulang-ulang.
Wanita yang mengalami penyakit endometriasis dan fibroid ini kadang-kadang mengalami
keguguran biarpun usia kandungan sudah mencecah antara 4 hingga 5 bulan.
Faktor ketiga:
Jangkitan kuman pada darah wanita yang mengandung.
Wanita yang mengandung kadang tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit atau
kesakitan, kemudian mengalami keguguran.
Apabila darahnya diperiksa, darahnya dijangkiti kuman. Kuman pada darah itulah
yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis
virus CMG, herpes simpleks dan rubela.
Begitu juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada badan
kucing boleh menyebabkan keguguran. Oleh itu bagi wanita yang sering mengalami
keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-bati.
Biarpun kucing peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit
itu tetap ada pada bulu-bulu kucing dan tidak kelihatan pada mata kasar.
SOALAN: Apakah langkah yang perlu diambil untuk
mengelakkan dari keguguran berulangkali ini?
JAWAPAN: Selepas pemeriksaan dilakukan, jika ujian
mengesan virus dilakukan dan ia menjadi faktor keguguran, wanita itu perlu
mengambil inisiatif untuk memperkuatkan ketahanan diri. Doktor boleh menasihatkannya
untuk mengambil vitamin C dalam dos tinggi, dan multi- vitamin E.
Apabila seseorang mengandung sejak dari peringkat awal lagi, amalkan pemakanan
berkhasiat, ambil juga asid folik dan vitamin yang disebutkan sehingga
kandungan berusia tiga bulan.
Penting juga kalau boleh wanita yang mengandung diberi rehat tiga bulan, dari
bekerja. Antara perkara menyebabkan keguguran ialah stress dari segi fizikal
dan mental. Ada baiknya jika wanita ini berehat sehingga tiga bulan.
Mereka digalakkan berehat, banyakkan baring dan tenangkan fikiran. Di samping
itu, jauhkan persetubuhan kerana adakalanya persetubuhan pada peringkat
mengandung boleh menyebabkan rahim kuncup dan mengakibatkan keguguran.
SOALAN: Apakah ada kaedah lain untuk mengatasi
masalah ataupun kaedah yang boleh dilakukan bersama rawatan yang diberikan secara
moden bagi mengatasi keguguran secara berulangkali ini?
JAWAPAN: Ada setengah cara rawatan pesakit
dimasukkan ke hospital, rawatan secara gantian darah protein untuk memperkukuhkan
darahnya. Ada juga yang percaya bahawa peranan makhluk halus menjadi penyebab
kepada keguguran dan kecacatan. Bagi wanita yang sedang haid memang tidak boleh
melakukan solat dan membaca quran, ketika itu gangguan boleh berlaku, khususnya
jin. Oleh itu ada baiknya wanita yang sedang haid digalakkan membanyakkan
membaca selawat ke atas nabi.
Bagi wanita mengandung dan mudah gugur, sewajarnya memperkuatkan rohani
dengan mengamalkan bacaan ayat Kursyi sambil memegang rahim hingga tertidur.



















