MW
Bil 877 8-15 Sept 2000
Pak Bidan Oh Pak Bidan
www.timang.org
Kelolaan Siti Zarinah Husain
SUBHEAD: Tugas uri yang membekalkan oksigen dan makanan kepada bayi, kadang-kadang
gagal berfungsi sepenuhnya. Akibatnya pertumbuhan bayi terjejas.
HEADING: KEHAMILAN MELALUI TIGA
PERINGKAT PENTING
Oleh: Prof. Dr. Hamid Arshat
"SUDAH berapa bulan kandungan awak, dan sudahkah awak bertemu doktor?"
tanya Aminah kepada rakannya Rogayah yang sedang hamil.
"Kenapa perlunya saya jumpa doktor? Saya tahu saya sedang hamil tiga bulan,
melalui ujian air kencing yang saya beli dari farmasi," jawab Rogayah.
PERBUALAN di atas mungkin pernah berlaku di kalangan masyarakat. Ramai orang
yang mengambil remeh tentang jagaan kesihatan sewaktu mengandung. Apabila mengetahui
diri sedang mengandung, mereka tidak bergegas untuk bertemu doktor.
Namun, tahukah anda bahawa jagaan kesihatan sewaktu mengandung bukan sahaja
boleh menentukan kesihatan diri ibu dan bayi di dalam kandungan? Ikuti penjelasan
lanjut mengenai perkara ini bersama Prof. Datuk Dr. Hamid Arshat ini:
Sebenarnya setiap ibu yang mengandung amat penting untuk mendapatkan rawatan
dari doktor. Sekurang-kurangnya dalam tempoh sembilan bulan mengandung, mereka
perlu datang ke klinik sebanyak enam kali. Ini penting kerana ia dapat mengurangkan
kadar kematian ibu dan bayi sewaktu melahirkan.
1. Khususnya pada peringkat tiga bulan pertama
2. Peringkat tiga bulan peringkat pertengahan kandungan
3. Peringkat tiga bulan terakhir sebelum melahirkan
Melalui rawatan daripada doktor dapat mengesan masalah kesihatan yang dialami
oleh si ibu. Selain itu doktor juga boleh mengesan sebarang gejala atau
faktor yang boleh mengancam kesihatan ibu disebabkan kandungan tadi.
Seseorang yang mengandung sebenarnya mengalami satu tekanan dari segi fizikal
dan mental, kerana ke semua organ dalam badannya perlu bekerja keras untuk menampung
bayi.
Fungsi jantung orang yang mengandung meningkat sebanyak 40 peratus untuk membekalkan
darah pada bayi. Oleh kerana itulah kadang-kadang orang yang mengandung cepat
mengalami mengah apabila terlalu banyak berjalan.
Pada peringkat awal mengandung pula ada yang merasakan tubuhnya panas. Ini berlaku
kesan peningkatan metabolisme. Perubahan-perubahan sebegini juga menyebabkan
tekanan kepada mereka. Lebih-lebih lagi kalau tidak mendapat sokongan penuh
daripada suami.
Kebanyakan golongan suami memberi sokongan moral dan kasih sayang kepada isteri
mengandung khususnya jika mengandung anak sulung.
Tidak dinafikan ada juga suami yang tidak mengindahkan isteri dengan membiarkan
isteri bersendirian. Sehingga ada yang sanggup mengabaikan si isteri dan berfoya-foya
dengan wanita lain. Ini akan menambah tekanan mental kepada si isteri.
Oleh itu, amat penting di kalangan suami, keluarga dan rakan-rakan terdekat
untuk memberi sokongan kepada mereka yang mengandung.
Mereka yang mengandung perlu juga mengamalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat.
Jadi, dengan menemui doktor, doktor boleh menilai tahap pemakanan mereka.
Kebanyakan para ibu yang mengandung akan mengalami peningkatan selera makan
selepas 4 bulan kandungan. Akibatnya ada yang tidak memikirkan makanan seimbang
sehingga terlebih mengambil makanan manis dan berkarbohidrat.
Makanan terlalu manis boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada ibu, antaranya
darah tinggi, kencing manis atau bayi yang dikandung terlalu besar sehingga
menyurkannya bersalin secara normal.
Berat badan ibu mengandung biasanya akan meningkat. Namun, peningkatan berat
badan ibu mengandung yang ideal ialah antara 10-15 kilogram sehingga sebelum
melahirkan.
Pada tempoh kandungan 5 bulan kandungan, seharusnya peningkatan berat badan
hanya 5 kilogram (purata peningkatan satu kilogram sebulan).
Biarpun berat badan ibu yang mengandung meningkat, namun, ia termasuk juga dengan
berat uri dan air yang bertakung dalam badan. Apabila selepas melahirkan, berat
badan akan berkurangan.
Para doktor selalu menasihatkan agar ibu-ibu mengandung memakan lebih banyak
makanan yang mempunyai protein yang tinggi. Contohnya seperti susu, tauhu, tempe,
minuman soya, kacang hijau, ikan, daging dan ayam.
Sementara bagi mereka yang mengalami kurang darah, sekali sekala perlu memakan
hati atau limpa untuk menggalakkan pembentukan darah. Selain itu, sayur-sayuran
dan buah-buahan juga penting sebagai sumber vitamin dan makanan berserat yang
boleh memudahkan lawas.
Demikian juga dengan pengambilan zat besi dan kalsium kerana zat besi untuk
membina darah ibu dan anak. Sementara kalsium untuk pembentukan tulang bayi.
Ramai orang tidak memakan kalsium secara tablet atau daripada sumber lain seperti
susu dan ikan bilis, mengalami masalah sakit gigi, gigi berlubang, sakit sendi
dan sakit tulang.
Apabila kandungan berusia 5 bulan dan ke atas, para ibu juga digalakkan untuk
memakan makanan tambahan seperti minyak ikan. Pada tempoh ini pembentukan otak
bayi berlaku, minyak ikan boleh merangsang pertumbuhan otak bayi.
Apabila kandungan sudah mencapai tempoh tiga bulan terakhir sebelum bersalin,
mereka masih perlu bertemu doktor. Ia penting bertujuan untuk menyediakan mereka
dari segi mental untuk hadapi kelahiran dan penjagaan bayi selepas bersalin.
Saat melahirkan merupakan sesuatu yang cemas, bukan sahaja dari segi masa, tetapi
dari segi keselamatan diri ibu dan bayi.
Pada bulan terakhir kandungan, doktor akan dapat menentukan sama ada si ibu
boleh melahirkan secara normal atau perlu dibedah. Oleh sebab itulah penjagaan
sewaktu mengandung amat penting untuk mengetahui sama ada bayi berada dalam
keadaan normal atau sebaliknya. Selain itu, pertumbuhan bayi di dalam kandungan
juga boleh diawasi oleh doktor. Tidak dinafikan kadang pertumbuhan bayi terjejas
atau kadang berlaku masalah pendarahan, masalah penyakit tertentu atau masalah
berpunca dari uri.
Tugas uri yang membekalkan oksigen dan makanan kepada bayi, kadang-kadang gagal
berfungsi sepenuhnya. Akibatnya pertumbuhan bayi terjejas. Semua aspek ini boleh
diketahui jika ibu mengandung bertemu doktor.
Melalui proses imbasan (ultrasound) ketika bayi berusia 8 bulan, kedudukan bayi
boleh dilihat sama ada berada dalam kedudukan normal atau menyongsang.
Kebiasaannya kepala bayi sudah berada di bahagian bawah. Sekiranya usia kandungan
8 bulan, berada dalam kedudukan menyongsang, ia bermakna akan dilahirkan
dalam keadaaan sedemikian. Namun biasanya doktor akan membetulkannya dengan
menggunakan kaedah tertentu tanpa melakukan paksaan dengan ganas. Jika usaha
yang dilakukan tidak berjaya, kelahiran perlu dilakukan secara caesarian.
Selain itu, dengan melalui ultrasound, kedudukan uri boleh kesan dari semasa
ke semasa. Jika kedudukan uri berada di bawah rahim sewaktu kandungan antara
32-34 minggu ia dinamakan sebagai 'placenta previa'. Bayi perlu dilahirkan secara
pembedahan.
Warna uri yang sihat sewaktu proses ultrasound ialah putih. Namun jika didapati tompok-tompok hitam, maknanya uri rosak. Jika ia berlaku ia boleh menjejaskan pertumbuhan bayi.
Ia juga boleh menjadi punca kematian bayi sewaktu di dalam kandungan. Jika uri tidak sihat, para doktor boleh melakukan pembedahan untuk kelahiran lebih awal dari jangka waktu yang ramalkan.
Pakar perbidanan yang melakukan pemeriksaan ke atas ibu mengandung mempunyai peranan untuk membuat penilaian sama ada kandungan itu selamat dilahirkan normal atau tidak.
Berdasarkan pelbagai faktor inilah, saya ingin menekankan kepada para ibu mengandung agar tidak menganggap penjagaan sewaktu mengandung sebagai sesuatu yang remeh. Oleh kerana itulah, jangan teragak-agak untuk ke klinik, jika sudah disahkan mengandung.


















