| Article Index |
|---|
| Kecacatan Bayi Dalam Kandungan |
| Page 2 |
| All Pages |
MW Bil 877 8-15 Sept 2000
Pak Bidan Oh Pak Bidan
www.timang.org
Kelolaan Siti Zarinah Husain
Tugas uri yang membekalkan oksigen dan makanan kepada bayi, kadang-kadang gagal berfungsi sepenuhnya. Akibatnya pertumbuhan bayi terjejas.
KEHAMILAN MELALUI TIGA PERINGKAT PENTING
Oleh: Prof. Dr. Hamid Arshat
"SUDAH berapa bulan kandungan awak, dan sudahkah awak bertemu doktor?" tanya Aminah kepada rakannya Rogayah yang sedang hamil.
"Kenapa perlunya saya jumpa doktor? Saya tahu saya sedang hamil tiga bulan, melalui ujian air kencing yang saya beli dari farmasi," jawab Rogayah.
PERBUALAN di atas mungkin pernah berlaku di kalangan masyarakat. Ramai orang yang mengambil remeh tentang jagaan kesihatan sewaktu mengandung. Apabila mengetahui diri sedang mengandung, mereka tidak bergegas untuk bertemu doktor.
Namun, tahukah anda bahawa jagaan kesihatan sewaktu mengandung bukan sahaja boleh menentukan kesihatan diri ibu dan bayi di dalam kandungan? Ikuti penjelasan lanjut mengenai perkara ini bersama Prof. Datuk Dr. Hamid Arshat ini:
Sebenarnya setiap ibu yang mengandung amat penting untuk mendapatkan rawatan dari doktor. Sekurang-kurangnya dalam tempoh sembilan bulan mengandung, mereka perlu datang ke klinik sebanyak enam kali. Ini penting kerana ia dapat mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi sewaktu melahirkan.
1. Khususnya pada peringkat tiga bulan pertama
2. Peringkat tiga bulan peringkat pertengahan kandungan
3. Peringkat tiga bulan terakhir sebelum melahirkan
Melalui rawatan daripada doktor dapat mengesan masalah kesihatan yang dialami oleh si ibu. Selain itu doktor juga boleh mengesan sebarang gejala atau faktor yang boleh mengancam kesihatan ibu disebabkan kandungan tadi.
Seseorang yang mengandung sebenarnya mengalami satu tekanan dari segi fizikal dan mental, kerana ke semua organ dalam badannya perlu bekerja keras untuk menampung bayi.
Fungsi jantung orang yang mengandung meningkat sebanyak 40 peratus untuk membekalkan darah pada bayi. Oleh kerana itulah kadang-kadang orang yang mengandung cepat mengalami mengah apabila terlalu banyak berjalan.
Pada peringkat awal mengandung pula ada yang merasakan tubuhnya panas. Ini berlaku kesan peningkatan metabolisme. Perubahan-perubahan sebegini juga menyebabkan tekanan kepada mereka. Lebih-lebih lagi kalau tidak mendapat sokongan penuh daripada suami.
Kebanyakan golongan suami memberi sokongan moral dan kasih sayang kepada isteri mengandung khususnya jika mengandung anak sulung.
Tidak dinafikan ada juga suami yang tidak mengindahkan isteri dengan membiarkan isteri bersendirian. Sehingga ada yang sanggup mengabaikan si isteri dan berfoya-foya dengan wanita lain. Ini akan menambah tekanan mental kepada si isteri. Oleh itu, amat penting di kalangan suami, keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk memberi sokongan kepada mereka yang mengandung.
Mereka yang mengandung perlu juga mengamalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat. Jadi, dengan menemui doktor, doktor boleh menilai tahap pemakanan mereka. Kebanyakan para ibu yang mengandung akan mengalami peningkatan selera makan selepas 4 bulan kandungan. Akibatnya ada yang tidak memikirkan makanan seimbang sehingga terlebih mengambil makanan manis dan berkarbohidrat.



















