PERSENYAWAAN DAN KEJADIAN KEHAMILAN
Benih Lelaki (Spermatozoa)
Benih Perempuan (Ovum)
Persenyawaan Dan Pertumbuhan Bayi
Tanda-tanda dan Kepastian Bagi Kehamilan
PERSENYAWAAN DAN KEJADIAN KEHAMILAN
Kehamilan adalah hasil percantuman antara benih-benih lelaki dan
perempuan. Benih lelaki digelar spermatozoa dan benih perempuan digelar
ovum. Proses percantuman yang digelar persenyawaan (fertilization)
menghasilkan satu embryo yang kemudian tumbuh dan membesar untuk
menjadi satu bayi. Sebelum kita mengkaji dengan mendalam tentang proses
tersebut, penting bagi kita untuk memahami tentang pengeluaran, bentuk
dan pergerakan benih-benih lelaki dan perempuan.
Benih Lelaki (Spermatozoa) Organ-organ pembiakan lelaki adalah terdiri
daripada zakar (testes), saluran mani (epididymis), karung mani
(seminal vesicle) dan kilang prostate. Bentuk dan kedudukan organ-organ
tersebut adalah ditunjukkan dalam rajah 1. 
Zakar mengandungi banyak tubule seminferous yang terdiri dari
sel-sel yang membentuk benih-benih. Proses pembentukan benih digelar
spermatogenesis dan proses ini adalah rumit sedikit. Sel-sel normal
mempunyai 46 rangkaian kromosom. Tetapi apabila sel-sel ini membentuk
benih dalam proses spermatogenesis, bilangan kromosom menjadi separuh
iaitu 23. Kromosom-kromosom adalah struktur penting yang terletak dalam
nuklues sel dan menerusi kromosom-kromosom ini baka dan ciri-ciri
warisan biasanya diturunkan kepada anak.
Pembentukan benih atau spermatogenesis adalah di bawah kawalan
hormon terutamanya FSH atau follicle stimulating hormon, yang
dikeluarkan oleh kilang pituitari. Hormon kelakian iaitu testosterone
juga mengambil peranan dengan memastikan spermatogenesis berlaku terus
menerus. Tetapi paras hormon testosterone yang terlalu tinggi boleh
menindas pembentukan benih.
Sejurus selepas dikeluarkan oleh sel-sel dalam tubule seminferous,
benih-benih tersebut belum lagi mempunyai daya untuk bergerak-gerak dan
tiada kemampuan untuk bercantum dengan benih perempuan. Benih-benih
mendapat kemampuan untuk bergerak di dalam saluran epididymis.
Perjalanan benih-benih melalui saluran ini mengambil masa selama 9
hingga 14 hari.
Benih-benih lelaki adalah dianggap sebagai satu unit hidupan dan merka
mempunyai kemampuan untuk hidup sendiri dengan mendapat bekalan makanan
dari lendir-lendir yang dikeluarkan oleh saluran epididymis, karung
mani dan kilang prostat.
Jika diperiksa dengan alat mikroskio, kita dapati benih-benih lelaki
mempunyai satu bentuk yang istimewa: mereka ini mempunyai rupa bentuk
seperti anak berudu (lihat rajah 2). Terdapat tiga bahagian dalam
setiap benih iaitu kepala, leher dan ekor.
Kromosom-kromosom terletak di dalam bahagian kepala dan leher,
manakala bahagian ekor mempunyai peranan penting dalam pergerakan.
Selepas persetubuhan, air mani ditimbulkan di dalam faraj. Berjuta-juta
benih lelaki adalah terkandung di dalam air mani tersebut jika ia
dikeluarkan oleh seorang lelaki yang normal. Kebanyakan daripada air
mani tersebut terdiri dari lendir yang dikeluarkan oleh kilang prostat
dan karung mani. Lendir tersebut mengandungi banyak jenis bahan kimia
dan makanan untuk menampung kehidupan benih-benih. Sebaik sahaja
dikeluarkan, benih-benih tersebut belum lagi mempunyai keupayaan untuk
fertilization dan biasanya benih-benih tersebut mengambil masa lebih
kurang tujuh jam untuk mendapatkan keupayaan ini. Pakar-pakar perubatan
berpendapat bahawa keupayaan ini didapati apabila benih-benih tersebut
menembusi lendir pada pangkal rahim (cervix). Lendir pangkal rahim ini
juga mempunyai beberapa tugas lain yang penting terhadap benih-benih
lelaki seperti memberi sumber makanan, memperkuatkan tenaga untuk
pergerakan dan juga menyimpan benih-benih itu dalam keadaan hidup untuk
beberapa hari.
Benih-benih lelaki biasanya mempunyai jangka masa hidup selama 24-28
jam sahaja selepas dikeluarkan. Tetapi kadangkala benih-benih tersebut
boleh disimpan oleh lendir pangkal rahim sehingga beberapa hari.
Selepas menembusi lendir pangkal rahim dan mendapatkan tenaga lebih
untuk pergerakan, benih-benih lelaki perlu menempuh satu perjalanan
yang jauh untuk menemui ovum (telur perempuan) pada muncung saluran
fallopian. Perlu diingat bahawa benih-benih lelaki adalah terlalu kecil
bentuknya dan bagi mereka jarak antara pangkal rahim ke muncung saluran
fallopian adalah amat jauh. Oleh kerana bahaya dan rintangan dalam
perjalanan tersebut terlalu besar dan ada kemungkinan benih-benih itu
musnah sebelum sampai ke destinasi, maka dengan bilangan terbesar
benih-benih, iaitu sehingga berpuluh juta banyaknya, masalah tersebut
mungkin dapat diatasi. Sekurang-kurangnya beberapa benih lelaki akan
sampai ke muncung saluran fallopian untuk bercantum dengan ovum,
walaupun kebanyakan daripada mereka akan musnah.
Kegiatan ekor benih memainkan peranan utama dalam pergerakan
benih-benih. Tambahan pula perjalanan benih ke arah muncung saluran
fallopian adalah ditolong dengan kuatnya oleh kontraksi atau tindakan
kembang-kuncup yang berlaku pada otot-otot rahim dan saluran fallopian.
Adalah dipercayai bahawa tindakan kembang-kuncup rahim adalah
disebabkan oleh sejenis hormon, digelar prostaglandin yang terkandung
di dalam air mani dan dikeluarkan oleh kilang prostat. Perjalanan
benih-benih menembusi lendir pangkal rahim dipermudahkan dengan saluran
pangkal rahim menjadi kembang, yang biasa berlaku jika wanita itu
mencapai kemuncak (orgasm) ketika persetubuhan.
Pada dinding bahagian dalam saluran fallopian terdapat
rerambut-rerambut atau cilia yang sentiasa bergerak-gerak sehingga
menimbulkan satu arusan. Gerakan cilia ini menolong perjalanan
benih-benih lelaki ke arah muncung saluran fallopian. Gerakan cilia ini
juga menimbulkan ombak-ombak yang kemudian menarik antara benih-benih
perempuan (ovum) yang dikeluarkan oleh ovari ke arah muncung saluran
fallopian di mana percantuman antara benih-benih lelaki dan perempuan
berlaku.
Daya tarikan kimia atau chemotaxis juga mempunyai peranan penting
dalam perjalanan benih-benih lelaki dan perempuan menuju ke arah
muncung. Saluran fallopian mempunyai beberapa peranan dalam perjalanan
benih-benih, malah saluran tersebut juga mengeluarkan lendir yang kaya
dengan bahan-bahan makanan untuk kegunaan benih-benih tersebut.
Benih Perempuan (Ovum) Ovum atau benih perempuan adalah dikeluarkan
oleh ovari atau kilang ovum. Pada kebiasaannya satu sahaja ovum
dikeluarkan dalam satu pusingan haid walaupun kadang-kala terdapat
lebih dari satu dan keadaan begini boleh menyebabkan kehamilan berganda
seperti bayi kembar.
Tidak semua wanita mengeluarkan ovum dalam setiap pusingan haid:
setengah pusingan haid tanpa ovulasi (pengeluaran ovum) dan ada
setengah wanita pula, oleh sebab penyakit, tidak mengeluarkan telur
langsung di dalam hayatnya. Ada setengah wanita mengeluarkan ovum dari
ovari adalah satu faktor penting dalam menentukan kesuburan seseorang
wanita, kerana tanpa ovum, kehamilan tidak boleh berlaku.
Seseorang wanita mempunyai dua ovari yang terletak dalam rongga
punggung.
Dalam ovari ini terdapat banyak sel yang digelar primodial follicle
yang mempunyai potensi bagi menajdi ovum. Pada permulaan hayat
seseorang wanita, terdapat lebih kurang 400,000 primodial follicle,
tetapi dari jumlah tersebut hanya lebih kurang 400 sahaja yang berjaya
untuk menjadi ovum.
Kebanyakan dari follikal lain menjadi musnah. Sebelum menjelma sebagai
ovum, banyak perubahan berlaku di dalam struktur follikal-follikal
tersebut dan ini dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang
pituitari dan hypothalamus yang terletak di dalam otak.
Terdapat dua jenis hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitary,
digelar follicle stimulating hormone (FSH) dan luteinising hormon (LH).
Pengeluaran hormon-hormon tersebut adalah dipengaruhi oleh releasing
factor yang dikeluarkan oleh kilang hypothalamus. Aspek-aspek mental,
khususnya emosi, mempengaruhi peredaran haid menerusi perantaraan
hypothalamus.
FSH bertindak ke atas follikal-follikal dalam ovari dan menyebabkan
mereka menjalani beberapa peringkat perubahan yang digelar maturasi
atau pematangan follikal. Proses maturasi ini berlaku pada minggu
pertama dan kedua dalam pusingan haid. Pada pertengahan pusingan haid,
biasanya pada hari ke 14, pengeluaran benih dari follikal berlaku dan
proses yang digelar ovulasi ini adalah dikawal oleh hormon LH. Walaupun
banyak follikal menjalani proses maturasi, tetapi hanya satu sahaja
mencapai ke peringkat ovulasi dan mengeluarkan ovum. Dalam rawatan
dengan ubat gonadotrophin bagi pesakit-pesakit yang tidak ada ovulasi,
kadang kala berlaku beberapa follikal mencapai maturasi sehingga
mengeluarkan beberapa ovum.
Keadaan ini boleh menyebabkan kehamilan berganda. Rawatan dengan ubat
penyubur seperti clomiphene boleh menghasilkan kehamilan kembar dalam
10 peratus dari pesakit-pesakit yang menerima rawatan.
Ovum adalah satu struktur yang amat kecil dan ia mempunyai nukleus
sendiri. Jumlah bilangan kromosom di dalam ovum juga menjadi separuh
(23) daripada jumlah bilangan biasa (46). Ovum ketika dikeluarkan oleh
follikal adalah diselaputi oleh satu lapisan digelar zona pellucida. Ia
mula bergerak atas daya tarikan dari muncung saluran fallopian. Daya
tarikan ini berpunca dari pergerakan cilia atau rerambut pada dinding
saluran fallopian tetapi jika persenyawaan tidak berlaku, benih-benih
tersebut akan musnah begitu sahaja dan sel tersebut diserap oleh sistem
peraliran darah.
Ovum biasanya boleh hidup selama 24-28 jam selepas ia dikeluarkan oleh ovari.
Persenyawaan Dan Pertumbuhan Bayi Kejayaan sesuatu persenyawaan
bergantung kepada beberapa faktor. Pertamanya, adalah penting bagi
bilangan benih-benih lelaki itu mencukupi dan mempunyai kemampuan untuk
bergerak dan daya untuk bercantum (capacitance). Keduanya,
saluran-saluran peranakan mulai dari vagina, saluran cervik, ruang
rahim dan saluran fallopian mestilah mempunyai bentuk yang normal dan
tidak ada sekatan atau rintangan yang mungkin menghalang perjalanan
benih-benih lelaki.
Persetubuhan mestilah dilakukan dengan jayanya pada waktu yang
tertentu, iaitu pada waktu kesuburan isteri, kerana pada ketika itu
ovum dikeluarkan oleh ovari. Persetubuhan yang disertai kemuncak
kepuasan (orgasm) adalah penting kerana keadaan begini dikatakan
memudahkan perjalanan benih-benih lelaki melalui saluran pangkal rahim,
ruang rahim dan seterusnya saluran fallopian.
Bilangan benih-benih lelaki yang dikeluarkan ketika persetubuhan adalah
juga penting kerana perjalanan menerusi saluran peranakan adalah jauh
bagi benih-benih yang begitu kecil bentuknya itu. Banyak rintangan yang
ditempuh oleh benih-benih tersebut dan banyak daripada mereka yang
musnah sebelum sampai ke destinasi.
Selain dari benih tersebut menambah kekuatan tenaga dan daya pergerakan
ketika mereka menembusi lendir di dalam pangkal rahim, lendir cervik
ini juga membekalkan bahan makanan dan juga memberi daya bercantum
kepada benih-benih lelaki (capacitance). Bentuk benih-benih lelaki yang
normal juga penting bagi kejayaan sesuatu persenyawaan. Jika bentuk
benih lelaki banyak yang luar biasa, ini mungkin mengendalakan
persenyawaan. Rangkaian kromosom yang terkandung di dalam benih lelaki
dan ovum juga penting bagi menghasilkan satu embryo yang normal.
Kelainan dalam kromosom telah dikatakan menimbulkan kehamilan-kehamilan
luar biasa seperti kehamilan anggur (hydatidiform mole) dan keguguran.
Benih lelaki membawa 23 kromosom dan ovum juga membawa 23 kromosom, dan
ini, apabila bercantum, akan menghasilkan satu embryo yang mengandungi
rangkaian kromosom yang normal bagi setiap sel iaitu 46.
Percantuman benih-benih lelaki dengan ovum berlaku pada muncung saluran
fallopian. Banyak benih lelaki akan mendekati ovum dan mereka ini juga
menembusi selaput tebal zona pellucide tetapi akhirnya hanya satu benih
lelaki sahaja akan berjaya mencantumkan nukleusnya dengan nukleus ovum
Persenyawaan
menghasilkan satu zygote dan di dalam zygote ini proses pembiakan
sel-sel terus berlaku. Dari satu sel ia membiak mejadi 2, 4, 8 dan
seterusnya tidak terkira banyaknya. Pada ketika ini juga zygote mula
berjalan melalui saluran fallopian untuk menuju ke ruang rahim.
Perjalanan in biasanya mengambil masa selama 5 hingga 7 hari. Pada
ketika yang sama perubahan-perubahan telah berlaku di bawah pengaruh
hormon-hormon estrogen dan progesterone pada lapisan endometrium untuk
menyediakan dan menerima zygote yang kini telah berkembang menjadi
embryo untuk menghasilkan kehamilan. Embryo ini perlu membenamkan
dirinya pada dinding rahim (endometrium) di mana ia terus membiak,
tumbuh dan membesar. Proses ini digelar implantasi dan untuk kejayaan
proses ini, embryo perlu mengeluarkan enzim yang khsusus untuk
membolehkannya menembusi dan membenamkan diri ke dalam lapisan
endometrium.
Setelah implantasi berlaku dengan jayanya, embryo terus membiak dan
tumbuh membesar. Sel-sel ini membentuk anggota-anggota dan organ-organ
badan. Dari sel-sel tersebut juga terbentuk uri yang mempunyai beberapa
tugas penting khususnya bagi membekal makanan dan oksigen, serta
membuah kumoh-kumoh dari bayi.
Tanda-tanda dan Kepastian Bagi Kehamilan
Tanda yang paling penting bagi kehamilan ialah tidak datang haid pada
waktu yang dijangka. Walaupun keadaan ini boleh disebabkan oleh banyak
perkara termasuklah sesuatu jenis penyakit, ketidakdatangan haid
biasanya menandakan kehamilan.
Tanda-tanda yang sering menyertainya ialah rasa loya dan muntah-muntah khususnya pada pagi-pagi hari.
Ini mungkin juga disertai oleh rasa pening kepala.
Gangguan dalam perkencingan mungkin juga berlaku seperti kerapkali
hendak buang air kencing. Ini disebabkan oleh tekanan rahim yang kian
membesar ke atas pundi-pundi kencing.
Satu lagi tanda penting yang boleh diketahui oleh wanita hamil ialah
kesedaran tentang buah dadanya membesar dan ini sering disertai oleh
rasa sengal-sengal atau sakit.
Walaupun tanda-tanda kehamilan mungkin jelas, seringkali kepastian
hanya boleh dicapai dengan pemeriksaan oleh doktor. Jika doktor masih
juga ragu-ragu untuk membuat kepastian tentang kehamilan, ujian-ujian
khsusu boleh dilakukan. Ujian-ujian human chorionic gonadotrophin (HCG)
yang dikeluarkan oleh sel-sel trophoblast dalam kehamilan. Hormon HCG
ini disalurkan keluar melalui air kencing. Beberapa jenis ujian telah
dicipta atas dasar tersebut, dan banyak dari ujian ini boleh didapati
dengan sedikit bayaran dari kedai-kedai ubat atau chemist. Kepastian
tentang kehamilan boleh dibuat dengan ujian-ujian lain seperti dengan
alat ultrasonic di mana kehamilan dalam rahim dapat digambarkan dengan
jelas melalui peti televisyen. Denyutan jantung bayi boleh juga dikesan
dengan alat-alat ultrasound setelah kehamilan mencapai dua bulan atau
lebih.



















