Bayi Tabung Uji

E-mail Print PDF

Bayi Tabung Uji

babyivf2.jpg
Berita kelahiran seorang bayi oleh Puan Brown di England telah menggemparkan seluruh dunia kerana ini merupakan bayi pertama dalam sejarah yang telah disenyawakan di luar tubuh manusia. Kejayaan ini adalah satu hasil usaha dua pakar perubatan iaitu Dr. Steptoe, seorang pakar Obstetriks dan Ginekologi dan Dr. Edwards seorang ahli fisiologi di University Cambridge. Kedua-dua pakar tersebut telah beberapa tahun lama berusaha bertungkus lumus untuk mensenyawakan benih lelaki dengan ovum perempuan di luar tubuh manusia, dan akhirnya mereka telah menghasilkan satu kejayaan cemerlang.

Persenyawaan benih-benih di luar tubuh (in vitro fertilization) memang telah lama diketahui oleh pakar-pakar perubatan. Ini berdasarkan di atas kejayaan dalam bidang yang sama di kalangan haiwan. Walaupun demikian satu masalah yang terbesar ialah untuk mendapatkan cecair semaian (culture medium) yang sesuai bagi persenyawaan semula jadi, pertemuan dan persenyawaan benih lelaki dan ovum perempuan berlaku pada muncung saluran fallopian. Ovum (benih) perempuan dikeluarkan oleh ovari pada waktu tertentu dan proses ini digelar ovulasi. Ovum yang dikeluarkan biasanya hidup selama 24 jam sahaja. Jika pada jangka masa ini persenyawaan (fertilization) tidak berlaku, ovum akan musnah.

Selepas persetubuhan benih-benih lelaki adalah ditimbunkan di dalam vagina dan terdapat berjuta-juta benih tersebut yang perlu bergerak-gerak menuju ke muncung saluran fallopian untuk proses persenyawaan. Dalam proses ini saluran fallopian mempunyai beberapa peranan penting. Saluran ini menarik ovum supaya mendekati pada muncungnya dan daya tarikan ini didapati dari gerakan-gerakan cilia (rerambut), gerakan berombak-ombak pada muncung saluran fallopian dan juga daya penarikan kimia (chemotaxis). Saluran fallopian juga mempunyai peranan yang sama terhadap pergerakan benih-benih lelaki. Selain daripada itu saluran ini mengeluarkan cecair khusus yang sesuai untuk persenyawaan benih dengan ovum. Keadaan dan suasana yang sesuai adalah sangat penting bagi berlakunya persenyawan. Keadaan ini sangat sukar ditiru di luar tubuh manusia.

Setelah persenyawaan berlaku, hasilnya iaitu embryo, kini menjalani proses pembahagian sel, dan embryo ini perlu melalui saluran fallopian untuk menuju ke ruang rahim. Perjalanan ini biasanya mengambil masa antara 5 atau 7 hari dan apabila sampai ke ruang rahim embryo ini perlu melekatkan jasadnya ke lapisan endometrium dan proses ini digelar ‘implantation’. Bagi kejayaan proses implantasi ini, lapisan endometrium perlu disediakan, iaitu lapisan ini menjalani beberapa perubahan anatomi dan fisiologi, sesuai untuk menerima implantasi embryo itu.

Bagi wanita-wanita yang didapati saluran fallopian mereka tersekat oleh sebab sesuatu penyakit, peluang bagi mereka mendapat kehamilan adalah sangat tipis. Pada keseluruhannya pembedahan bagi membetulkan saluran fallopian (tubal plastic surgery) memberi hasil yang sangat menghampakan. Walaupun banyak perkembangan baru telah berlaku dalam bidang pembedahan ini khususnya dari segi cara pembedahan yang menggunakan ‘microsurgical technique’ namun kadar kejayaan, diukur dari kadar kehamilan selepas pembedahan masih lagi tidak melebehi 30 peratus. Oleh kerana saluran fallopian wanita-wanita tersebut telah tersekat, benih-benih lelaki tidak mempunyai peluang lanngsung untuk bertemu dengan ovum perempuan. Wanita-wanita tersebut akan terus menjadi mandul melainkan satu cara lain dicipta untuk menjayakan persenyawaan dan implantasi. Dari sini timbullah cara persenyawaan di luar tubuh atau ‘in vitro fertilization’.

Sebelum persenyawaan dalam tiub ujian boleh dilakukan beberapa perkara perlu dipertimbangkan. Pertamanya pengambilan ‘ovum’ (benih) perempuan yang telah betul-betul matang dan sesuai untuk disenyawakan. Kedua mencipta cecair semaian (fluid medium) yang sesuai bagi persenyawaan benih. Ketiganya mencipta cara untuk memasukkan embryo ke dalam rahim bagi proses ‘implantation’.

Pengambilan ovum (benih) perempuan adalah satu perkara yang sukar. Wanita hanya mengeluarkan satu benih sahaja pada setiap bulan. Ovum ini dikeluarkan oleh ovari dari suatu struktur yang digelar graffian follikal. Terdapat banyak follikal-follikal di dalam ovari seseorang wanita dan mereka berkembang di bawah pengaruh hormon-hormon FSH dan LH untuk menjadi benih. Oleh kerana ovari terletak di dalam ruang pelvis, pengambilan ovum (benih) mestilah memerlukan pembedahan. Pengambilan ovum ini juga mestilah tepat waktunya iaitu ketika ovum itu telah betul-betul matang iaitu setelah ia menjalani proses maturasi. Ovum juga merupakan satu struktur yang amat kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Sebelum pembedahan dilakukan untuk mengambil ovum (benih) penentuan mestilah dilakukan untuk memastikan berlakunya maturasi benih. Beberapa cara penentuan ini boleh dilakukan seperti dengan mencatatkan suhu badan (basal body temperature chart), penyukatan paras hormon dan memerhatikan bentuk lendir pangkal rahim (cervical mucus). Penentuan ini adalah sangat penting bagi kejayaan usaha mengambil ovum (benih). Satu alat khas digunakan untuk tujuan mengambil ovum, alat ini digelar ‘laparoscope’ iaitu sejenis alat teropong yang boleh digunakan untuk melihat ke dalam perut.

Untuk menjalankan ujian laparoscopy ini, pesakit perlu dibius. Dengan menggunakan alat teropong, graffian follikal yang mengandungi ovum kemudian dengan penuh teliti disedut airnya. Tatacara ini adalah sangat ‘delicate’ dan perlu dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati. Kepastian sama ada ovum itu telah dapat dikeluarkan atau tidak, dilakukan dengan memeriksa cecair graffian follikal di bawah mikroskop.

Setelah ovum (benih) perempuan dapat dikeluarkan dengan jayanya, masalah kedua yang lebih runcing lagi ialah untuk mencipta suatu cecair semaian (culture medium) yang sesuai bagi kehidupan benih-benih dan boleh menyokong proses persenyawaan serta perkembangan embryo. Cecair ini mestilah sama dari segi kandungan kimia dan bentuknya seperti yang terdapat pada muncung saluran fallopian. Benih-benih lelaki mudah didapati dari suami dengan cara ‘masturbasi’. Tetapi satu masalah yang mungkin timbul ialah samada benih-benih tersebut sudah mempunyai daya untuk mensenyawakan ovum atau tidak. Dalam keadaan benih-benih lelaki mendapat daya ini iaitu apa yang digelar ‘Capacitance’ ketika ia membuat perjalanan dari vagina melalui saluran pangkal rahim, ruang rahim dan saluran fallopian. Tetapi dalam persenyawaan di luar tubuh (in vitro fertilization) benih-benih lelaki tidak menempuhi perjalan tersebut. Oleh itu satu keadaan perlu diwujudkan untuk memberi daya ‘capacitance’ kepada benih-benih lelaki.

Proses persenyawaan adalah sentiasa diawasi melalui mikroskop dan jika ia berlaku, proses ini dibiarkan berterusan untuk lebih kurang 5 hingga 7 hari. Ini adalah tempoh waktu bagi ovum yang telah disenyawakan untuk menjalani saluran fallopian menuju ke ruang rahim dalam keadaan semula jadi. Dalam masa ini ovum yang telah disenyawakan menjalani proses-proses pembiakan sel-sel dan perkembangan untuk menjadi ‘embryo’ dan ia kemudian dimasukkan ke dalam ruang rahim supaya ia dapat menjalani proses ‘implantation’.

Oleh kerana proses persenyawaan berlaku di luar tubuh, setengah pakar-pakar sains khuatir keadaan luar biasa ini mungkin menyebabkan sesuatu gangguan sehingga menimbulkan suatu embryo yang ganjil atau abnormal. Ini adalah satu kemungkinan yang perlu sentiasa diawasi. Walaupun demikian bayi ‘test-tube’ pertama yang dilahirkan oleh Puan Brown adalah normal dari segi sifat dan anggotanya.

Ketika embryo itu dimasukkan ke dalam ruang rahim untuk menjalani proses implantasi perbuatan ini mungkin boleh ditimpa kegagalan. Lapisan endometrium pada dinding rahim mungkin tidak tersedia untuk menerima embryo tersebut. Oleh itu persediaan-persediaan tertentu juga perlu dibuat untuk menjayakan proses implantasi ini. Setelah proses ini berlaku dengan jayanya, kemajuan dan perkembangan seterusnya berlaku terhadap embryo tersebut seperti dalam kehamilan biasa. Tetapi kemungkinan bagi kehamilan tersebut menjadi gugur adalah lebih besar daripada kehamilan biasa.

Konsep bagi bayi di dalam ‘test-tube’ bukannya bermakna kehamilan itu membesar dan tumbuh hingga menjadi bayi di dalam ‘test-tube’. Tetapi hanya sekadar proses persenyawaan sahaja yang berlaku di luar tubuh. Perkembangan dan pembesaran jasad bayi sebenarnya berlaku di dalam rahim.

Walaupun berita bayi ‘test-tube’ ini telah menggegarkan dan mengkagumkan dunia, ini tidak bermakna setiap wanita mandul mempunyai harapan untuk hamil. Rawatan tersebut adalah khusus bagi wanita mandul yang disebabkan oleh sekatan saluran fallopian sahaja. Banyak lagi perkara yang boleh menyebabkan kemandulan wanita. Walaupun demikian cara rawatan ini merupakan satu sinar harapan baru bagi mereka yang ingin sangat mendapat anak. Sekarang ini terdapat banyak pusat hospital kerajaan yang menawarkan IVF untuk pasangan yang sukar hamil. LPPKN, HUKM dan juga sektor swasta seperti Damansara Specialist.

Dari segi agama, cara rawatan ini adalah sah dan diterima kerana ia hanya melibatkan benih-benih dan ovum suami isteri. Mufti Besar Kaherah telah melafazkan pendapatnya tentang hal ini dan beliau berpendapat bahawa rawatan ini adalah sah dalam Islam.

Perlu diingati bahawa dalam rawatan cara ini, wanita dikehendaki menjalani pembedahan kecil iaitu ‘laparoscopy’ dan jika pada kali pertama gagal, ia perlu diulang-ulang. Seterusnya banyak masalah-masalah boleh timbul yang mungkin menyebabkan kegagalan. Mungkin dalam banyak-banyak percubaan hanya satu sahaja yang berjaya.

Last Updated ( Saturday, 24 February 2007 19:57 )  

Iklan

Bellaposhbowtique.com

 Mangkuk Tingkat

Kedai Buku Online

Login Ahli

Who's Online

We have 9 guests and 0 members online

    Statistik

    Total Members : 9481
    Latest Member : Silicone108
    Today : 13 Registers
    This Week : 49 Registers
    This Month : 152 Registers
    mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
    mod_vvisit_counterToday2100
    mod_vvisit_counterYesterday13158
    mod_vvisit_counterThis week45744
    mod_vvisit_counterLast week58314
    mod_vvisit_counterThis month96918
    mod_vvisit_counterLast month199375
    mod_vvisit_counterAll days5990925

    Your IP: 38.107.191.88
     , 
    Today: Mar 11, 2010

    Lokasi Kami


    View Business Listing in a larger map

    Hubungi Kami

         Klinik Dr. Hamid Arshat
         75M Medan Setia Satu,
         Plaza Damansara, Bukit Damansara,
         50490 Kuala Lumpur,
         Malaysia

    Telefon temujanji:

    • 603 - 2094 5800
    • 603 - 2094 5262
    • 603 - 2094 1115
    Faks : 603 - 2094 9402
    E-mail:
    • hamidarshat@hotmail.com
    • nysfh13@hotmail.com