Siasatan & Rawatan

E-mailPrintPDF

Siasatan dan Rawatan

Siasatan-siasatan ke atas masalah kemandulan adalah banyak dan biasanya dilakukan berperingkat-peringkat. Pada mulanya isteri diperiksa dahulu dan dalam pemeriksaan ini banyak soalan tentang riwayat hidupnya akan ditimbulkan, khususnya dari segi edaran haid, penyakit-penyakit yang mungkin dihadapi dan juga kisah tentang hubungan seks. Banyak juga soalan yang ditimbulkan oleh doktor mungkin menyentuh peribadi seseorang, tetapi ini tidak bertujuan untuk mempersendakan atau merendah-rendahkan maruah mereka.

Setelah butir-butir mengenai diri isteri didapati, pemeriksaan tubuh badan akan dilakukan untuk mengesan sesuatu penyakit yang mungkin menyebabkan kemandulan. Pemeriksaan kemaluan juga akan dilakukan oleh doktor dan ini mungkin menyebabkan wanita itu berasa malu. Walaupun demikian ini perlu dilakukan untuk mengesan sesuatu penyakit seperti ketumbuhan dalam rahim atau ovari yang mungkin menyebabkan kemandulan. Perlu diketahui bahawa selepas pemeriksaan pertama ini doktor belum lagi membuat keputusan tentang sebab-sebab kemandulan. Banyak lagi siasatan yang diperlukan untuk mengesan di tingkat manakah punca kemandulan mungkin berlaku sama ada pada saluran kemaluan, pangkal rahim, saluran fallopian atau ovari.

Sebelum siasatan-siasatan dilakukan doktor akan membincangkan tentang hubungan seks kerana pasangan suami isteri perlu mengetahui bahawa wanita hanya subur pada waktu-waktu tertentu dalam pusingan haidnya. Waktu subur (fertile period) bagi seseorang wanita biasanya jatuh pada hari ke-14 dikira dari hari pertama datang darah haid (bagi pusingan haid 28 hari). Kadang-kadang saya menemui kes di mana suami isteri tidak bersatu pada ketika isterinya dalam waktu subur oleh kerana suaminya perlu bertugas di perbatasan misalnya. Masalah ini perlu diatasi terlebih dahulu sebelum siasatan-siasatan lain dilakukan ke atas suami dan isteri.

Siasatan adalah banyak dan biasanya dilakukan berperingkat-peringkat. Ada setengah siasatan boleh dilakukan berperingkat-peringkat. Ada setengah siasatan boleh dilakukan di klinik sahaja; misalnya pemeriksaan-pemeriksaan darah dan kencing dan X-ray, tetapi setengah siasatan lain memerlukan wanita dimasukkan ke hospital khususnya untuk satu pembedahan kecil seperti Dilatation and Curettage (D & C). Siasatan-siasatan terbaru dalam bidang kemandulan ialah penyukatan paras hormon dengan cara radioimmunoassay. Pemeriksaan laparocospy, di mana wanita di bawah pengaruh bius diperiksa alat pembiakannya dengan menggunakan satu alat teropong, juga merupakan satu perkembangan baru dalam beberapa tahun yang lepas. Setengah dari pasangan kelamin yang datang untuk diperiksa dan disiasat daya kesuburannya, berjaya mencapai kehamilan tanpa apa-apa rawatan. Seperti yang telah dibincangkan di atas, hubungan seks yang kena pada waktunya boleh menjayakan sesuatu kehamilan. Setengahnya pula menjadi hamil setelah menjalani beberapa siasatan kecil seperti D & C atau X-ray. Ujian-ujian tersebut mungkin mempunyai nilai-nilai rawatan.

Satu perkara penting yang perlu diketahui oleh semua kelamin mandul ialah mereka patut datang untuk diperiksa sebelum kemandulan berlaku lebih dari 3 tahun.

Kadar kehamilan atau kejayaan rawatan adalah bergantung atas jangka waktu kemandulan; kadar kehamilan ialah antara 60 hingga 70 peratus jika kemandulan mendapat rawatan selepas 2 atau 3 tahun, tetapi kadar ini merosot hingga ke 10 atau 20 peratus jika kemandulan melebihi 7 tahun.

Beberapa perkembangan baru telah timbul dalam rawatan kemandulan, misalnya rawatan dengan ubat penyubur (fertility drugs) dan juga penggunaan teknik pembedahan mikro (microsurgery) bagi membetulkan kesumbatan saluran fallopian. Penyelidikan-penyelidikan sedang giat dilakukan dalam bidang in vitro fertilization dan embryo transplant dan kini beberapa bayi tabung uji telah dilahirkan. Setakat ini rawatan bagi kemandulan lelaki masih menghampakan. Inseminasi (artificial insemination) perlu dilakukan ke atas wanita yang suaminya mandul. Inseminasi yang menggunakan air mani penderma (AID), menghasilkan kejayaan yang baik tetapi rawatan ini tidak begitu sesuai untuk wanita Islam.

Walaupun segala cara penyiasatan dan rawatan telah diberi kepada pasangan kelamin yang mandul, ada kemungkinan sebilangan kecil dari mereka akan terus mandul dan hampa mendapat kehamilan. Hal ini sering terdapat di kalangan wanita yang organ pembiakannya seperti saluran fallopian, ovari, telah rosak terus ataupun lelaki yang tiada benih langsung (azoospermia) dan enggan menerima inseminasi AID.

Walaupun rawatan bagi kemandulan tidak menjamin kehamilan bagi pasangan-pasangan yang ‘mandul’, penting untuk diingat bahawa pasangan kelamin tersebut perlu mendapat rawatan dari doktor-doktor pakar supaya dapat disiasat punca kemandulan dan seteusnya diberikan rawatan yang paling wajar sekali. Sekarang ini sukar bagi pasangan-pasangan yang mandul untuk mengambil anak angkat. Kesukaran ini timbul oleh kerana kebanyakan pasangan kelamin sekarang menghadkan bilangan anak mereka. Lagi pun dengan meningkatnya taraf ekonomi, pelajaran dan sosial, pasangan-pasangan kelamin tidak begitu gemar untuk memberikan anak-anak mereka dijadikan anak angkat oleh keluarga lain.

Dalam hal ini beberapa berita skandal telah kita baca di mana penjualan bayi telah timbul di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain. Satu kumpulan sindiket haram telah mengumpulkan bakal-bakal ibu yang hamil diluar nikah, iaitu mereka yang telah ditinggalkan oleh teman lelaki tunang mereka, di suatu tempat di mana mereka boleh melahirkan anak. Kemudian anak-anak tersebut dijual kepada keluarga-keluarga kaya yang inginkan anak, dengan harga berpuluh-puluh ribu ringgit. Walaupun keadaan ini tidak timbul di negara kita, tetapi ada kemungkinan ia akan berlaku. Oleh itu kemudahan-kemudahan bagi menyiasat dan merawat kemandulan perlu dikembang dan dipermodenkan supaya angkara-angkara skandal boleh dijauhkan.

Walaupun pengambilan anak angkat boleh memenuhi kekosongan dalam rumahtangga tetapi ini tidak seperti anak sendiri yang mewarisi darah daging dan darjat kita sendiri. Saya pernah temui kes-kes di mana kelamin-kelamin yang ‘mandul’ dan selepas mengambil anak angkat berjaya mendapat beberapa anak sendiri seterusnya. Ini mungkin disebabkan oleh pengaruh psikologi atau emosi yang mungkin menyebabkan kemandulan itu, dan dengan adanya anak angkat di samping mereka, faktor-faktor psikologi boleh dijauhkan. Saya pernah juga mendengar cerita di mana doktor pakar telah putus harapan tentang kejayaan rawatan, tetapi setelah beberapa tahun kelamin tersebut berjaya mendapat kehamilan secara spontan. Ini adalah suratan takdir.

Last Updated ( Friday, 16 February 2007 23:56 )  






Iklan

BUDS_SlideLogo

Bellaposhbowtique.com
Kedai Buku Online

Who's Online

Please select a menu item first in the module's configuration.

Statistik

Total Members : 16876
Latest Member : pralKistsuips
Today : 0 Registers
This Week : 0 Registers
This Month : 0 Registers
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday1533
mod_vvisit_counterYesterday4935
mod_vvisit_counterThis week29811
mod_vvisit_counterLast week41803
mod_vvisit_counterThis month98579
mod_vvisit_counterLast month182771
mod_vvisit_counterAll days11131748

Your IP: 38.107.179.229
 , 
Today: May 18, 2012

Lokasi Kami


View Business Listing in a larger map

Hubungi Kami

     Klinik Dr. Hamid Arshat
     75M Medan Setia Satu,
     Plaza Damansara, Bukit Damansara,
     50490 Kuala Lumpur,
     Malaysia

Telefon temujanji:

  • 603 - 2094 5800
  • 603 - 2094 5262
  • 603 - 2094 1115
Faks : 603 - 2094 9402
    E-mail:
    • hamidarshat@hotmail.com