Soalan
Saya sekarang mengandung 8 bulan dan ini merupakan kandungan yang pertama.
Saya dapati setelah melakukan seks dengan suami kemaluan saya akan merasa sakit sehingga beberapa hari. Untuk pengetahuan Dr. walaupun sebelum itu suami saya terlebih dahulu telah merangsang saya tetapi kemaluan saya tetap kering dan tidak mengeluarkan cecair oleh itu saya jadi sakit dan tidak berminat untuk melakukannya.
Soalan saya adakah perkara biasa sewaktu mengandung cecair yang biasanya akan keluar sewaktu terangsang akan berkurang atau tidak keluar langsung semasa mengandung?
Diharap Dr. dapat memberikan sebabnya kerana saya risau ia akan menjejaskan hubungan saya kerana suami saya juga seperti sudah tidak berminat untuk melakukannya hanya jika saya melakukanya dengan tangan kepadanya sahaja.
Jawapan
Kehamilan memang satu keadaan yang penuh dengan stress samada tekanan fisikal atau mental. Dari segi fisikalnya memang tubuh badan kita ini diperlukan berfungsi 40 peratus lebih tinggi dari paras biasa untuk membekalkan darah dan melakukan lain-lain tugas organ. Dengan itu akibat daripada tekanan, ini kemahuan seks dan juga rangsangan seks mungkin berkurangan. Tetapi ini tidak sering berlaku pada kebanyakan wanita, hanya sebilangan kecil termasuk puan yang mungkin menghadapi masalah tersebut.
Kita harapkan ini hanya satu masalah sementara sahaja dan tidak akan berlarutan selepas puan melahirkan anak nanti. Saya fikir dalam hal ini suami perlu faham dan bersimpati dengan keadaan isteri yang sedang sarat mengandung kerana tumpuan puan sekarang ini ialah pada keselamatan bayi dan juga keselamatan puan sendiri ketika melahirkan anak kelak. Jadi peralihan tumpuan ini mungkin telah menjejaskan keinginan dan rangsangan seks. Ini satu perkara yang perlu difahami oleh suami.
Suami patut bersimpati tentang dilemma yang dihadapi oleh puan. Tetapi jika dilakukan rangsangan seks dengan tangan, ini saya fikir adalah salah satu alternatif yang dibenarkan dalam Islam dan tidak mungkin ia menjejaskan hubungan di masa hadapan.
Sekian.
Dr. Hamid Arshat


















