Adakah boleh hamil dengan satu tiub fallopian
Soalan
Assalamualaikum…..
Di sini saya ingin bertanya, berapa peratuskah kebolehan seorang wanita yang hanya tinggal satu kilang ovari dan tiub fallopian sebelah sahaja untuk mengandung?
Sejarah saya begini …..
Saya ada anak lelaki umur 4 tahun. (Selepas saya bernikah sebulan, saya terus disahkan hamil anak pertama. Ini menandakan yang saya tidak ada masalah pada mulanya kerana dianggap bunting pelamin).
Apabila anak pertama berumur 2 tahun saya ingin mengandung untuk kali kedua … tapi setelah 12 bulan barulah saya disahkan mengandung anak kedua. Tapi tiga hari kemudian selepas disahkan , saya mengalami sakit teruk di perut dan pembedahan secara kecemasan dijalankan. Doktor mengesahkan saya mengandung di luar rahim dan terpaksa buang fallopian tiub dan kilang ovari sebelah kanan. Doktor juga telah mengesahkan bahawa kilang di sebelah kiri subur dan tiub fallopian “cantik”.
Yang menjadi musykil saya ialah sudah 8 bulan saya menunggu untuk mendapatkan anak kedua tapi masih belum berhasil???
Terima kasih,
Jawapan
Allah mengurniakan setiap wanita dengan dua ovari dan dua saluran fallopian. Tujuan menjadikan begini ialah untuk memberi peluang kepada wanita yang mana kerosakan sebelah ovari atau fallopian berlaku dengan adanya sebelah yang lain ia masih boleh hamil dan melahirkan anak.
Sekarang kita teliti setiap organ yang terletak dalam tubuh badan kita seperti liver, paru-paru, buah pinggang atau lain-lain, kita dapati organ-organ tersebut tidak perlu berfungsi 100% untuk menjalankan tugas ertinya ia mempunyai simpanan reserve jika kerosakan berlaku di sebahagiannya. Begitu jugalah dengan keadaan peranakan puan puan masih boleh berkemampuan untuk hamil dan melahirkan bayi. Ramai pesakit yang telah menjalani pembedahan seperti puan di mana satu saluran fallopian telah dibuang sama ada bersama dengan ovari atau tidak. Akhirnya mereka ini hamil beberapa kali dan melahirkan anak secara normal seperti wanita lain.
Bagi puan langkah seterusnya ialah untuk menjalani ujian X-Ray rahim dan saluran fallopian yang digelar dengan nama Hystero-salpingogram (HSG). Ini dilakukan oleh doktor pakar X-Ray sejurus selepas haid dan sebelum waktu subur. Dalam ujian ini ubat akan disuntikkan ke dalam rahim melalui pintu rahim dan ini bertujuan untuk membuka saluran fallopian dan sambil itu beberapa gambar X-Ray akan diambil. Biasanya kos ujian di antara lingkungan RM150-180. Ramai yang hamil selepas melakukan ujian X-Ray HSG ini.
Jika masih belum hamil lagi percubaan lepas X-Ray saya sarankan memakan ubat subur clomid sebanyak dua biji atau 100 mg setiap hari mulai hari kedua haid selama lima hari. Dan waktu subur yang terbaik sekali ialah antara ke 13, 14. 15 kalau dikira dari hari pertama haid.
Mudah-mudahan puan akan hamil
tidak lama lagi.
Sekian terima kasih.

















