Adakah kegemukan menganggu kesuburan?
Soalan
Saya sudah berkahwin selama 2 tahun. Untuk pengetahuan Doktor,saya berbadan agak gempal sementara berat badan suami saya cuma 48kg. Sejak dari zaman anak dara putaran haid saya memang tak teratur contohnya 3 hingga 4 bulan sekali. Masalah saya sekarang,sehingga ke hari ini kami masih belum mendapat rezeki untuk menimang cahayamata.
Jawapan
Kegemukan memang menjadi satu masalah bagi ramai wanita walaupun sebahagian besar mereka tidak terganggu kesuburan mereka. Bagi sebahagian dan termasuk juga puan, memanglah terdapat gangguan semulajadi dalam hormon subur. Kesuburan wanita di kawal oleh dua jenis hormon yang keluar daripada otak iaitu apa yang digelar FSH dan LH. Dalam badan puan ini ketidak-seimbangan berlaku iaitu hormon LH meningkat dan apa terjadi biasanya hormon ini tidak dapat merangsang telur dengan sempurna menyebabkan banyak telur terperangkap didalam ovary menjadikan kilang telur "polycystic" atau bengkak. Lihat gambar-gambar slide yang saya tunjukkan dalam laman ini tentang ovari. Dan akibat daripada polycystic ovari ini maka hormon wanita yang dikeluarkan pun tidak seimbang iaitu ia melebihi kandungan oestrogen sedangkan progesterone kurang dan hormon lelaki iaitu testosterone meningkat lebih sedikit daripada biasa. Ini menyebabkan kegemukan dan juga tumbuh rambut di kaki, di bahagian muka serta misai.
Oleh itu langkah yang boleh diambil oleh puan ialah dengan:
1. Mengurangkan berat badan dengan mengawal makanan dan membuat riadah atau exercise untuk mencapai tahap berat badan yang seimbang dengan ukuran tinggi.
2. Disamping itu sekarang ini bagi mereka yang mengalami masalah polycystic ovary, terdapat beberapa jenis rawatan ubat-ubatan, ubat subur, ubat suntikan hormon
3. Pembedahan kecil (Laparoscopy - ovarian drilling). Eloklah puan berjumpa dengan doktor pakar sakit puan untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan serta penilaian dengan teliti.



















