Bagi pihak suami, ujian benih mesti dilakukan, jika belum pernah dilakukan sebelum ini. Tujuan ujian ini ialah untuk mendapat maklumat tentang hitungan benih ( Normal – 20 hingga 60 juta / ml. ), daya pergerakkan benih ( Normal – Lebih 50% bergerak) dan bentuk benih ( Normal – Lebih 50 %).
Masalah kadang-kadang timbul untuk mendapatkan contoh air mani suami – ada yang enggan diperiksa, ada yang terlalu sibuk dan ada suami berkerja jauh di tempat lain. Suami yang sibuk tidak perlu datang sendiri, ia boleh mengeluarkan contoh air mani di rumah, secara mastubasi atau hubungan seks pada waktu pagi, dan air mani itu ditadahkan ke dalam bekas yang telah disediakan oleh klinik. Bekas tersebut perlu dilabel nama-nama suami dan isteri dan perlu sampai ke klinik atau makmal paling lewat 2 jam selepas dikeluarkan. Keputusan pemeriksaan boleh diketahui pada petangnya atau lain-lain masa.
Di antara perkara-perkara yang boleh menyebabkan benih suami kurang, tidak aktif atau tidak normal bentuknya ialah penyakit-penyakit jangkitan kuman yang mungkin berlaku pada umur kanak-kanak seperti demam beguk (mumps) yang ditandakan dengan bengkak leher di bawah telinga, biasanya dirawat dengan nila. Virus beguk boleh menyerang buah zakar dan merosakkan kilang benih lelaki. Kadang-kadang berlaku buah zakar tidak turun masuk kedalam karungnya tetapi tersangkut di lipatan peha (undescended testes). Keadaan ini juga merosakkan benih-benih lelaki.
| < Prev | Next > |
|---|
















