Kehamilan Luarbiasa

E-mailPrintPDF

KEHAMILAN LUAR BIASA

Tidak semua kehamilan akan menghasilkan seorang bayi sihat dan cukup sifatnya. Sebilangan kecil iaitu lebih kurang 10 hingga 15 peratus kehamilan akan gugur pada peringkat awal iaitu tiga bulan pertama.

  Ada juga kehamilan yang tidak menjadi jasad tetapi ia menjadi apa yang digelar kehamilan anggur atau molar pregnancy. Adakalanya kehamilan bukan berlaku di tempat yang biasa iaitu di dalam rahim, tetapi ia berlaku di luar rahim seperti di salur fallopian. Kedua-dua jenis kehamilan tersebut dianggap luar biasa dan boleh membawa akibat buruk kepada wanita berkenaan.

  Sebab utama kehamilan luar biasa tidak diketahui, tetapi ada tanda yang menunjukkan keadaan itu berlaku mungkin disebabkan oleh baka yang kurang baik. Dalam hal ini kita tidak mengetahui siapa dan bila masanya seseorang mengeluarkan benih yang kurang baik dan menyebabkan  kehamilan anggur.

  Tegasnya kejadian ini adalah secara kebetulan dan telah ditakdirkan oleh Ilahi. Manusia tidak mempunyai daya untuk menjauhkan kejadian kehamilan yang luar biasa ini.

  Kehamilan di luar rahim jarang berlaku. Mungkin ia berlaku sekali dalam 200 hingga 300 kehamilan. Puncanya juga tidak diketahui.

  Kehamilan luar biasa boleh mengancam nyawa seseorang wanita, terutamanya jika pendarahan itu amat banyak berikutan dari keguguran, kehamilan di luar rahim yang pecah dalam perut, ataupun keguguran kandungan anggur. Tegasnya, semua kehamilan luar biasa ini boleh menyebabkan pendarahan yang amat banyak.

  Wanita yang pernah mengalami kehamilan anggur mempunyai risiko dalam lingkungan lima peratus untuk dihinggapi penyakit barah dalam rahim atau chorio carcinoma.

  Biasanya barah ini berlaku dalam jangka waktu dua tahun selepas kejadian kehamilan anggur. Walaupun demikian ada juga yang menghidap barah rahim selepas beberapa tahun mengalaminya.

  Wanita yang mengalami kehamilan luar biasa juga boleh menjadi mandul. Kadangkala keguguran berlaku berulang-ulang kali dan ini menimbulkan masalah kerana setiap kali hamil dia gagal untuk menatang anak yang dinanti-natikannya itu.

  Wanita yang mengalami kehamilan di luar rahim perlu menjalani pembedahan untuk membuang kehamilan itu serta saluran peranakan yang rosak.

  Selain daripada bahaya yang telah saya nyatakan di atas, kejadian kehamilan luar biasa boleh menimbulkan beberapa masalah kecil seperti jangkitan kuman ataupun kekurangan darah (anaemia).

  Kehamilan luar biasa ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, keadaan kesihatan atau status kelahiran yang telah lepas. Tegasnya setiap wanita yang subur yang boleh hamil adalah terdedah kepada gejala tersebut.

  Walaupun demikian, perlu diingatkan, wanita yang pernah gugur boleh mengalami masalah yang sama. Begitu juga wanita yang pernah mengalami masalah kehamilan di luar rahim boleh mengalami masalah yang sama pada kali yang kedua.

  Oleh itu, sebaik sahaja wanita tersebut hamil lagi dia patutlah mendapat nasihat dan pemeriksaan doktor pakar untuk menentukan kehamilan kali ini dalam keadaan normal.

  Semua kehamilan luar biasa mempunyai tanda yang hampir sama. Biasanya seseorang wanita mengetahui dirinya mengandung kerana tidak datang haid pada waktu yang dijangkakan.

  Tanda yang amat penting apabila terjadi kehamilan luar biasa ialah pendarahan sama ada secara sedikit-sedikit ataupun tumpah darah yang banyak. Ini biasanya berlaku di peringkat awal kehamilan iaitu dalam tiga bulan pertama.

     Setiap wanita yang mengalami masalah pendarahan padahal dia sedang hamil di peringkat awal, patutlah menemui doktor dengan secepat mungkin untuk mendapatkan kepastian sama ada dia akan gugur atau kehamilannya berlaku di luar rahim ataupun dia menghadapi masalah kehamilan anggur.

  Pengesahan perkara ini sangat penting kerana rawatan yang sewajarnya boleh diberikan dengan tujuan untuk mengelakkan segala bahaya yang telah dijelaskan di atas.

  Pada peringkat awal kehamilan, doktor boleh membuat pengesahan kehamilan normal atau luar biasa dengan menjalankan satu ujian khas dengan menggunakan ultrasound.

  Alat ultrasound ini biasanya digunakan oleh doktor pakar kesihatan wanita untuk mengesan keadaan kehamilan sama ada dia diancam oleh keguguran atau kehamilan luar biasa.

  Di hospital dan di klinik yang tidak mempunyai kemudahan ultrasound, biasanya doktor pakar akan merawat wanita yang mengalami masalah pendarahan di peringkat awal kehamilan dengan memasukkan mereka ke wad serta memerhatikan perkembangan selanjutnya. Jika tidak ada alat ini agak sukar untuk membuat kepastian sama ada kehamilan itu normal ataupun tidak.

Keguguran Berulang Kali

Selain daripada kehamilan luar biasa, keguguran berulang kali juga boleh menyebabkan kehamilan gagal. Saya sedar ramai wanita mengalami masalah ini.

  Ada antara mereka datang berjumpa saya. Setelah dirawat sebilangannya berjaya melahirkan anak yang sihat sejahtera sementara yang lainnya masih hampa dan gagal.

  Mengikut kajian, lebih kurang sepuluh peratus kehamilan akan gugur. Keguguran yang dialami sekali dalam hayat seseorang wanita tidaklah memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan jiwanya, tetapi jika ia terus-menerus berlaku setiap kali hamil, ini akan menimbulkan kerunsingan dan kehampaan. Dalam fail pesakit saya, bukan sahaja terdapat wanita yang mengalami dua kali keguguran, tiga atau empat kali, malah ada yang pernah sampai sepuluh kali gugur berturut-turut. Kebanyakan keguguran ini berlaku di peringkat awal kehamilan iaitu sebelum tiga bulan dan ada juga sebilangan  kecil yang gugur di peringkat pertengahan kehamilan iaitu dalam lingkungan lima hingga enam bulan.

  Salah seorang pesakit ini ialah puan F. Beliau menemui saya ketika umurnya 32 tahun setelah berumahtangga sepuluh tahun dan gugur sebanyak enam kali. Hampir semua keguguran berlaku berlaku di peringkat awal iaitu tiga bulan kehamilan melainkan kehamilan pertama yang gugur selepas berusia empat setengah bulan. Puan F yang ditemani oleh suaminya, dalam keadaan yang tertekan jiwanya dan hampir-hampir putus asa tidak berjaya meneruskan kehamilan itu.

Segala butir peribadi perkahwinan, setiap kehamilan yang gugur dan rawatan yang pernah diberikan, saya catat dengan teliti serta terperinci. Butir-butir ini boleh memberi panduan kepada saya dari segi menentukan apakah punca kejadian ini dan bagaimana cara merawat Puan F di masa hadapan apabila beliau mengandung. Keguguran berulang-ulang kali ini biasanya tidak dapat dikesan puncanya dengan tepat walaupun pemeriksaan serta siasatan dijalankan dengan teliti. Walaupun demikian, saya sedar lebih kurang 40 peratus daripada semua keguguran adalah disebabkan oleh benih mengandungi baka cacat.

  Tidak semestinya pula wanita yang mengalami masalah ini akan terus-menerus mengeluarkan telur yang cacat bakanya. Mungkin di satu masa kelak dia akan mengeluarkan benih yang normal dari segi baka, tetapi kita tidak boleh mengawal atau memberi rawatan untuk menentukan pengeluaran benih atau baka yang normal.

  Kadangkala sesuatu keganjilan seperti kelonggaran dan kelemahan pada pangkal rahim atau bentuk rahim yang luar biasa juga boleh menyebabkan masalah ini. Adakalanya penyakit yang dialaminya oleh wanita sepeti penyakit jangkitan kuman, atau sifilis serta penyakit darah boleh menyebabkan masalah ini.

  Setelah melakukan ujian pada Puan F, saya dapati pada pandangan mata kasar, rahimnya normal tetapi saya terus juga menjalankan pemeriksaan X-ray khas untuk meneliti bentuk rahim dan pangkal rahimnya. X-ray ini digelar nama hysterosalpingogram. Ujian ini menunjukkan beliau tidak mengalami masalah dalam perkakas peranakannya. Darahnya juga diuji untuk mengesan penyakit jangkitan kuman dan penyakit darah yang lain tetapi saya tidak juga dapat mengesan punca masalanya. Seterusnya saya melakukan satu ujian baka pada darahnya dan darah suaminya. Kedua-dua ujian ini tidak menunjukkan sebarang masalah di segi rangkaian kromosom mereka. Ringkasnya, tidak ada satu sebab yang jelas dapat saya kesan menyebabkan Puan F gugur berulang kali.

  Walaupun demikian, saya memberi nasihat kepadanya mengenai kaedah kesuburan. Ubat subur juga saya beri supaya Puan F cepat hamil. Saya juga menekankan kepada kedua pasangan suami isteri ini, supaya menjadi kehamilan akan datang dengan rapi dan insentif sejak di peringkat awal lagi.

  Beberapa bulan kemudian mereka berkunjung semula ke klinik saya dengan membawa berita baik iaitu haid Puan F terlewat sebulan. Saya membuat ujian air kencing dan mengesahkan pemeriksaan ultrasound untuk menentukan sama ada kandungan itu berada di dalam atau di luar rahim. Saya telah pastikan kandungan ini adalah normal dan di tempat biasa. Saya juga membuat pemeriksaan sama ada pangkal rahimnya menjadi longgar atau tidak. Pemeriksaan pertama menunjukkan tidak ada masalah pada pangkal rahim.

  Oleh kerana Puan F bekerja di salah sebuah kementerian kerajaan, saya mencadangkan supaya beliau berehat sepenuh masa di hospital iaitu dari masa dia mula mengandung sampai melahirkan anak. Ini bertujuan untuk menentukan kehamilan ini berjaya dan sampai ke peringkat cukup bulan. Dengan memasukkan Puan F ke hospital beliau dapat berehat serta mententeramkan fikirannya. Beliau tidak perlu membuat kerja rumah dan tidak perlu terdedah kepada tekanan di tempat kerja, sama ada tekanan jasmani atau rohani.

Penting juga dalam hal ini, persetubuhan dijauhkan kerana adakalanya persetubuhan boleh mencetuskan keguguran. Begitu juga dengan tekanan jasmani oleh sebab pekerjaan di pejabat atau di rumah. Tekanan jiwa dan emosi boleh mencetuskan keguguran. Dengan memasukkan Puan F mungkin saya dapat mengurangkan tekanan-tekanan tersebut. Puan F bersetuju dengan cadangan saya. Nampaknya beliau tidak ada pilihan lain melainkan bersetuju dengan cara rawatan yang saya berikan. Puan F telah banyak kali menemui doktor lain sebelum ini dan telah mendapat rawatan daripada mereka tetapi masalahnya tidak dapat diatasi. Oleh itu kali ini beliau mempunyai motivasinya yang amat tinggi untuk mematuhi segala arahan dan rawatan yang saya berikan.

  Kadangkala saya tidak memasukkan pesakit ke hospital kalau mereka keberatan untuk berbuat demikian. Dalam kes seperti ini, saya memberi cuti perubatan selama tiga bulan dan mencadangkan pesakit itu mengambil cuti tanpa gaji selepas tiga bulan melahirkan anak.

  Cara ini dapat menolong beberapa orang pesakit yang menghadapi maslah yang sama. Pada peringkat awal kehamilan saya bercadang membuat satu rawatan khas ke atas Puan F iaitu dengan menjahit pangkal rahimnya. Jahitan ini kita gelar shirodkar suture yang biasanya dilakukan pada kehamilan tiga hingga empat bulan. Apabila saya memeriksa, tidak terdapat masalah kelonggaran atau kelemahan pangkal rahim. Oleh itu saya tidak melakukan jahitan ini.

  Puan F dimasukkan ke hospital dan diberikan jagaan rapi oleh doktor dan kakitangan hospital. Sekali sekala beliau diberi cuti balik ke rumah, tetapi pasangan suami isteri ini dinasihatkan supaya jangan melakukan persetubuhan. Akhirnya Puan F berjaya hamil hampir mencapai sembilan bulan. Oleh kerana kehamilan ini saya anggap sangat bernilai dan pada ketika itu Puan F telah berumur 32 tahun, saya cadangkan supaya bayi ini dilahirkan dengan cara pembedahan sesarean.

  Mereka juga bersetuju dengan cadangan ini. Pembedahan sesarean telah dilakukan dengan jayanya dan seorang bayi perempuan comel selamat dilahirkan dengan berat badannya tujuh paun. Inilah hadiah yang sungguh istimewa untuk pasangan tersebut setelah sepuluh tahun menderita untuk menimangnya.

Last Updated ( Monday, 12 February 2007 08:55 )  






Iklan

BUDS_SlideLogo

Bellaposhbowtique.com
Kedai Buku Online

Who's Online

Please select a menu item first in the module's configuration.

Statistik

Total Members : 16876
Latest Member : pralKistsuips
Today : 0 Registers
This Week : 0 Registers
This Month : 0 Registers
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday205
mod_vvisit_counterYesterday5079
mod_vvisit_counterThis week9944
mod_vvisit_counterLast week37552
mod_vvisit_counterThis month116264
mod_vvisit_counterLast month182771
mod_vvisit_counterAll days11149433

Your IP: 38.107.179.228
 , 
Today: May 22, 2012

Lokasi Kami


View Business Listing in a larger map

Hubungi Kami

     Klinik Dr. Hamid Arshat
     75M Medan Setia Satu,
     Plaza Damansara, Bukit Damansara,
     50490 Kuala Lumpur,
     Malaysia

Telefon temujanji:

  • 603 - 2094 5800
  • 603 - 2094 5262
  • 603 - 2094 1115
Faks : 603 - 2094 9402
    E-mail:
    • hamidarshat@hotmail.com