KELAHIRAN YANG SELAMAT
Boleh dikatakan lebih daripada 80 peratus kelahiran tidak akan mengalami sebarang kesulitan sama ada kesulitan pada ibu ataupun pada anak. Walaupun demikian, lebih kurang 20 peratus akan mengalami pelbagai jenis gejala atau bencana yang boleh mengancam nyawa ibu dan anak.
Kebanyakan kematian yang disebabkan oleh kehamilan dan kelahiran berlaku semasa ataupun sejurus selepas kelahiran. Antara sebab utama kematian ini ialah tumpah darah yang berlaku ketika melahirkan anak, sawan beranak dan beberapa jenis penyakit seperti jangkitan kuman atau penyakit jantung.
Ramai juga bayi yang kehilangan nyawa ketika proses kelahiran berlaku dan ada antaranya yang mendapat kecacatan fizikal dan kecerdasan otak. Oleh itu, setiap ibu yang akan menghadapi proses kelahiran perlulah menyedari betapa pentingnya kelahiran yang selamat.
Faktor Menentukan Kelahiran Selamat
Ada beberapa perkara yang dapat menentukan keselamatan ibu dan bayi semasa kelahiran, antaranya:
Kesihatan Dan Pemakanan
Ibu yang menghidap penyakit kurang darah perlu diberi rawatan ketika hamil, begitu juga ibu yang menghidap sesuatu penyakit perlu mendapat jagaan rapi ketika hamil dan ketika bersalin.
Jagaan Ketika Mengandung
Jagaan ini adalah penting untuk menentukan keselamatan ibu dan bayi. Adalah dianggarkan setiap ibu yang mengandung perlu mendapat jagaan di klinik ibu dan anak, sekurang-kurangnya enam kali pada keseluruhan kehamilannya.
Ibu tersebut juga penting membuat lawatan ke klinik di peringkat awal, pertengahan dan peringkat akhir kehamilan.
Semasa pemeriksaan di klinik itu, ibu yang mengandung boleh diberi rawatan sewajar jika dia didapati menghidap sesuatu penyakit yang boleh menimbulkan masalah ketika bersalin nanti.
Seterusnya jika didapati kedudukan bayi ataupun uri tidak normal, seperti kedudukan bayi menyongsang atau melintang atau kedudukan uri di depan kepala bayi, langkah dan tindakan sewajarnya boleh diambil untuk mengatasi sebarang kecelakaan yang mungkin timbul ketika bersalin.
Tempat Kelahiran Yang Selamat
Tempat kelahiran yang selamat adalah sangat penting dan ini bermakna tempat itu perlu mempunyai kemudahan dan peralatan serta juga kakitangan yang terlatih untuk mengatasi sebarang masalah yang cemas, seperti tumpah darah ketika bersalin. Kemudahan itu juga penting untuk mengatasi beberapa gejala lain seperti kedudukan bayi tidak betul, ataupun kelahiran yang tersekat.
Tempat kelahiran ini mestilah mempunyai pelbagai jenis dan tahap kemudahan serta peralatan. Hospital besar misalnya mempunyai kemudahan yang lengkah, manakala hospital daerah mempunyai kemudahan yang minimun.
Begitu juga dengan pusat-pusat perbidanan yang dikendalikan oleh pihak swasta mungkin mempunyai kekurangan kemudahan berbanding dengan hospital, seperti ketiadaan tabung darah untuk mengatasi masalah tumpah darah jika berlaku.
Keadaan di rumah tidak boleh dianggap selamat langsung kerana tidak ada kemudahan peralatan dan juga kakitangan yang dikatakan terpilih.
Pada kebiasaannya, kelahiran di rumah disambut oleh bidan kampung yang mempunyai latihan secara tradisional. Mereka tidak ada peralatan dan kemudahan untuk mengatasi masalah cemas yang mungkin timbul seperti tumpah darah atau bayi yang susah bernafas ketika lahir.
Di Mana Patut Bersalin?
Setiap pasangan suami isteri patut membuat keputusan sejak di peringkat awal lagi untuk menentukan tempat kelahiran sama ada di rumah atau di hospital. Keputusan ini hanya boleh dibuat dengan pertolongan doktor perbidanan ataupun kakitangan perbidanan.
Jika terdapat sesuatu masalah kesihatan seperti berikut, ibu-ibu hamil adalah dinasihatkan supaya bersalin di hospital:
· Kehamilan sulung.
· Kelahiran kelima atau lebih.
· Kehamilan ini yang disertai oleh kerumitan seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan kurang darah.
· Kedudukan bayi tidak normal seperti songsang atau melintang.
· Kedudukan uri tidak normal seperti uri di hadapan bayi (placenta praevia).
· Pengalaman kelahiran yang tidak menyenangkan seperti pernah melahirkan anak secara pembedahan (sesarean), pernah melahirkan anak secara forsep, pernah mengalami kerumitan ketika bersalin seperti kelahiran secara forsep atau songsang (breech) atau kerumitan lain pada kandungan masa kin, ataupun yang terdahulu.
Oleh itu sepatutnya, hanya sebilangan kecil sahaja wanita yang boleh melahirkan anak di rumah setelah didapati tidak mengalami sebarang masalah yang telah saya jelaskan di atas.
Ini hanya boleh ditentukan oleh kakitangan atau doktor perbidanan sahaja. Malangnya mengikut perangkaan yang didapati di negara kita, lebih kurang 60 peratus ibu hamil masih melahirkan anak mereka di rumah walaupun sesetengahnya dinasihatkan supaya jangan berbuat demikian. Ini adalah kerana masalah dan gejala kehamilan yang mungkin menimbulkan kecemasan jika kelahiran itu berlaku di rumah.
Jika Anda Bersalin Di Rumah
Perlu ditegaskan, ibu hamil yang ingin melahirkan anak di rumah patut mendapat pemeriksaan dan nasihat yang sewajarnya daripada kakitangan atau doktor perbidanan di klinik yang terdekat sekali.
Langkah ini adalah untuk menjauhkan segala kerumitan ataupun gejala dan bencana yang mungkin timbul akibat kelahiran di rumah ialah ibu yang mengandung kali kedua hingga keempat dan kehamilan itu didapati tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Ibu-ibu perlu memastikan dia boleh mendapat khidmat bidan kampung terlatih dan mempunyai peralatan yang cukup. Sesetengah bidan kampung telah menjalani latihan khas yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan. Mereka juga dibekalkan dengan beberapa jenis alat keperluan bersalin.
Tentukan juga perhubungan dengan hospital daerah mudah dilakukan jika timbul sesuatu masalah ataupun sakit bersalin yang berpanjangan. Perhubungan yang saya maksudkan ialah perhubungan melalui telefon untuk mendapatkan bantuan ambulans ataupun perhubungan secara kenderaan.
Jika ada saudara-mara ataupun jiran yang mempunyai kereta perlulah mereka diberitahu terlebih dahulu untuk berjaga-jaga. Jika timbul sebarang kecemasan mudahlah ibu yang sedang sakit itu dipindahkan ke hospital dengan serta-merta.
Ibu hamil juga perlu mengetahui bila bermulanya sakit bersalin. Biasanya sakit bersalin datang dengan perlahan-lahan dan jika kesakitan itu dirasa agak kerap, sekali dalam 15 minit hingga setengah jam, ini bermakna sakit bersalin telah bermula.
Pada kebiasaannya sakit ini didahului oleh tanda, iaitu lendir campur darah. Perlu juga diingatkan, jika ibu mengalami kembar air atau air mentuban sudah keluar sebelum terasa sakit, saya nasihatkan ibu tersebut lebih baik pergi ke hospital dengan segera kerana ia mungkin satu tanda yang tidak begitu baik.
Seorang ibu yang keluar air dahulu sebelum sakit beranak bermula, menandakan ada sesuatu masalah di dalam kandungannya. Mungkin bahagian kepala janin tidak boleh masuk ke dalam rongga punggung. Keadaan ini memerlukan pengawasan dan jagaan yang rapi di hospital.
Ibu yang mengalami pendarahan berlebihan ketika sakit perlu juga dibawa ke hospital kerana ada kemungkinan kedudukan uri tidak normal. Uri mungkin terletak di hadapan kepala bayi. Keadaan ini boleh membahayakan serta mengancam nyawa ibu dan bayi. Jika kedudukan uri itu betul-betul menyekat proses kelahiran, bayi itu hanya boleh dilahirkan menerusi pembedahan sesarean.
Sesetengah wanita memang bernasib baik kerana tidak mengalami sakit bersalin yang berpanjangan. Ada juga wanita mengalami kesakitan yang sangat lama. Perlu dan penting diingatkan di sini, dari mula ibu sakit sehingga melahirkan anak, jangka waktu ini tidak patut dibiarkan melebihi 12 jam. Jika seseorang wanita itu mengalami kesakitan selama 14 jam misalnya, dia perlulah dimasukkan ke hospital dengan secepat mungkin.
Pada keseluruhannya, wanita akan mengalami kesakitan sebelum bersalin selama enam hingga lapan jam. Ada sesetengah wanita yang hanya mengalaminya dalam masa satu dua jam sahaja, manakala ada sesetengahnya mengalami antara lapan hingga dua belas jam.
Jangka waktu sakit bersalin bagi kehamilan sulung adalah lebih panjang daripada kelahiran yang berikutnya. Biasanya juga jika kepala bayi telah masuk ke dalam rongga punggung (engaged) sebelum dia berasa sakit, jangka waktu sakit bersalin ini adalah lebih pendek.
Jika seorang wanita mengalami sakit bersalin di rumah menghidap demam., penting dimasukkan ke hospital dengan secepat mungkin. Begitu juga jika dia didapati mengeluarkan air daripada rahim berwarna kekuningan atau kehijauan kerana ini mungkin menandakan bayi dalam rahim itu dalam keadaan terancam nyawanya.
Keadaan seperti demam dan air rahim yang kotor ada kaitan dengan tempoh waktu kesakitan bersalin yang amat panjang. Ibu-ibu yang lama sangat dalam kesakitan, didapati berkeadaan pucat, debaran jantung dan denyutan nadinya menjadi cepat (melebihi 100 denyutan seminit), dan dia mengalami masalah kekurangan air (dehydration).
Bila ibu berkeadaan demikian tidak ada pilihan, melainkan terus dikejarkan ke hospital dengan secepat mungkin.

















