Kelahiran Tak Cukup Bulan

E-mailPrintPDF

KELAHIRAN TIDAK CUKUP BULAN

Secara purata, kelahiran berlaku setelah kehamilan berusia 40 minggu dikira daripada hari pertama haid yang terakhir. Kebanyakan ibu akan bersalin apabila kehamilannya mencapai usia antara 37 hingga 42 minggu. Jika kehamilan melebihi 42 minggu ia dianggap sebagai lebih tempoh (post maturity). Sebaliknya jika ia berlaku sebelum 37 minggu kelahiran itu dianggap sebagai premature atau tidak cukup bulan.

Biasanya doktor mengira umur kehamilan dengan menggunakan jumlah minggu kehamilan. Bagi orang biasa, usia kandungan dikira mengikut bulan. Kelahiran dikira cukup bulan jika ia berlaku selepas sembilan bulan tujuh hari. Kehamilan yang kurang daripada lapan bulan pula dianggap sebagai tidak cukup bulan atau premature.

Ramai juga wanita yang mengalami kelahiran tidak cukup bulan. Ada yang mengalaminya berulang-ulang kali. Jika ini berlaku, sudah tentulah akan menimbulkan kecemasan dan gangguan fikiran.

Apakah Bahaya Kelahiran Tidak Cukup Bulan?

Bayi yang tidak cukup bulan seringkali diancam oleh bahaya maut, khususnya jika kelahiran bayi berlaku terlalu awal iaitu sebelum tujuh bulan dan timbang berat bayi kurang daripada 1.5 kilogram atau tiga setengah paun. Sebab pertama kematian bayi yang tidak cukup bulan ialah sistem pernafasan, otak dan hati (liver) belum lagi matang untuk menjalankan utgas seperti pernafasan yang membekalkan oksigen dan bahan makanan yang penting ke seluruh badan.

Masalah utama yang dihadapi oleh bayi tidak cukup bulan ialah pernafasan yang agak semput dan sesak. Keadaan ini digelar respiratory distress syndrome. Bayi yang mengalami masalah seperti ini perlu dirawat secara rapi di pusat kawalan bayi yang mempunyai perlatan khas seperti incubator dan respirator.

Bayi yang tidak cukup bulan juga sering mengalami masalah kesejukan (hypothermia). Keadaan ini juga boleh mengancam kesihatan dan kadangkala menyebabkan kematian. Begitu juga dengan masalah seperti penyakit kuning (jaundice), gangguan biokimia khususnya dalam kandungan gula dan logam dalam darahnya yang boleh mengancam nyawa bayi.

Bayi tick cukup bulan memerlukan cara pemakanan yang istimewa khususnya bayi yang terlalu kecil yang agak sukar untuk menghisap puting susu ibu ataupun puting susu botol. Susu ibu adalah makanan yang paling baik sekali bagi bayi yang tidak cukup bulan walaupun kadangkala ia perlu diberikan menerusi saluran tiub ataupun sudu kerana kelemahannya menghisap puting.

Bayi ini juga memerlukan jagaan lebih rapi dengan cara yang tertentu. Teknik jagaan bayi yang tidak cukup bulan boleh diajarkan kepada ibu oleh kakitangan perubatan serta para doktor.

Punca Kelahiran Tidak Cukup Bulan

Sebahagian besar daripada kes kelahiran yang tidak cukup bulan tidak diketahui puncanya walaupun berbagai-bagai jenis pemeriksaan dan ujian telah dilakukan. Namun demikian terdapat beberapa sebab nyata yang seringkali menyebabkan kelahiran tidak cukup bulan. Antaranya ialah:

Kehamilan Kembar

Biasanya rahim membesar kerana kandungan bayi kembar dua atau lebih. Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kelahiran yang lebih awal. Oleh itu penting bagi ibu yang hamil kembar mendapatkan rehat yang cukup mulai dari tujuh bulan hingga melahirkan anak. Sesetengah doktor biasanya memasukkan ibu yang sedang hamil kembar ke hospital apabila kehamilannya mencapai ke peringkat tujuh bulan. Ini bertujuan untuk memberi rehat yang sempurna supaya dapat dijalankan kelahiran di peringkat awal.

Masalah Rahim

Kelahiran premature boleh juga disebabkan oleh masalah pada rahim dan pangkal rahim. Kadangkala terdapat beberapa ketumbuhan luar biasa pada rahim seperti rahim bercabang dua (bicornuat uterus). Kadangkala berlaku juga kelonggaran atau kelemahan pada pangkal rahim. Keadaan ini digelar cervical incompetence dan ia boleh berlaku di kalangan wanita yang pernah menggugurkan anak secara sengaja melalui tatacara D & C. Jika keadaan ini berlaku, doktor akan membuat suatu rawatan khas dengan menjahit pangkal rahim apabila kehamilan mencapai ke peringkat empat bulan. Jahitan ini digelar shirodkar suture. Cara ini dapat mengatasi kelemahan atau kelonggaran pada pangkal rahim.

Kecacatan bayi

Kelahiran sebelum cukup bulan juga boleh berlaku kerana keganjilan atau kecacatan pada bayi seperti kecacatan pada otak, saraf atau kepala, ataupun kecacatan pada jantung atau anggota lain.

Pendarahan

Pendarahan yang berlaku pada kehamilan ketujuh atau kelapan boleh juga menyebabkan kelahiran premature. Pendarahan sebelum melahirkan anak adalah sangat berbahaya kerana ini menandakan sesuatu masalah genting seperti kedudukan uri di hadapan bayi (placenta previa). Kadangkala uri mula terpisah dari dinding rahim menyebabkan pendarahan yang banyak sehingga mengakibatkan kelahiran belum cukup bulan. Uri juga mungkin menjadi reput atau rosak sebelum tempoh kehamilan mencapai ke peringkat cukup bulan. Keadaan begini boleh mengakibatkan masalah darah tinggi, atau kencing manis.
Penyakit

Penyakit yang teruk seperti demam selsema (influenza) sekalipun atau dema paru-paru, demam akibat jangkitan kuman pada sistem perkencingan khususnya buah pinggang boleh menyebabkan kelahiran tidak cukup bulan. Demam ketika mengandung perlu mendapat rawatan segera untuk mengatasi masalah keguguran atau kelahiran sebelum cukup bulan.

Gangguan Emosi

Wanita yang mengalami keadaan yang memeranjatkan seperti kemalanga jalan raya atau berita sedih seperti kematian ibu atau bapa atau saudara terdekat atau keadaan lain yang boleh menimbulkan gangguan emosi dan jiwa boleh juga menyebabkan kelahiran belum cukup bulan.

Tekanan fizikal dan mental berpunca daripada cara hidup serba moden khususnya wanita yang bekerja di bandar boleh juga menyebabkan masalah kelahiran tidak cukup bulan. Saya anggap pnca ini menjadi lebih penting dewasa ini kerana ada tanda-tanda yang menunjukkan kejadian kelahiran sebelum cukup bulan kian meningkat hari demi hari.

Seperti saya jelaskan di atas, sebahagian besar punca kelahiran belum cukup bulan ini tidak diketahui. Ini mungkin disebabkan oleh apa yang diglar irritable uterus iaitu rahim sering kuncup sebelum waktunya.

Cara Menjauhi Kelahiran Premature

Saya telah jelaskan langkah yang perlu diambil untuk sebab-sebab yang tertentu. Walaupun demikian pada keseluruhannya wanita yang sedang hamil perlu mendapat jagaan yang rapi ketika mengandung khususnya mereka yang pernah mengalami masalah keguguran atau kelahiran belum cukup bulan.

Rehat adalah sangat penting sama ada rehat di rumah atau di hospital. Bagi wanita yang bekerja, doktor perlu bersimpati dengan mereka. Wanita tersebut juga perlu merayu untuk mendpat rehat khususnya bagi mereka yang pernah mengalami masalah ini apabila kehamilan mencapai ke peringkat tujuh bulan. Ada sesetengah mereka dinasihatkan suapya mengambil cuti yang panjang, mungkin untuk seluruh tempoh kehamilannya, sama da cuti sakit atau cuti tanpa gaji.

Penting bagi wanita yang pernah mengalami masalah kelahiran premature diberi ketenangan dan keselesaan emosi dan fikiran. Kalau boleh jauhkan daripada keadaan yang boleh memeranjatkan atau gejala lain yang boleh mengganggu ketenteraman jiwa.

Penting juga untuk pasangan suami isteri menjauhkan hubungan kelamin mulai dari tujuh bulan kandungan khususnya bagi mereka yang pernah mengalami masalah kelahiran premature.

Bagi mereka yang mengalami masalah sakit bersalin lebih awal seringkali diberikan rawatan rapi dengan ubat menahan sakit. Dengan pengawalan doktor, berbagai-bagai ubat boleh diberikan apabila wanita itu dimasukkan ke hospital. Kadang-kala ubat menahan sakit bersalin awal boleh juga diberikan sebagai satu langkah berjaga-jaga untuk mencegah daripada berlakunya premature labour. Ini dilakukan jika wanita itu pernah melahirkan anaknya sebelum cukup bulan di masa yang lepas ataupun jika kehamilan masa kini ialah kembar. Langkah berjaga-jaga dengan memberi ubat-ubat pencegah sakit bersalin awal sering dilakukan mulai enam bulan kandungan.

Pada keseluruhannya, untuk mengatasi masalah kelahiran sebelum cukup bulan penting bagi setiap wanita yang mengandung mendapat jagaan sempurna serta mematuhi peraturan dan panduan yang diberikan oleh doktor dan kakitangan kesihatan. Penting baginya meningkatkan tahap pemakanan dengan memakan bahan makanan berzat dan mengandungi vitamin serta protein. Penting juga ditentukan dia tidak menghidap penyakit kurang darah(anaemia) dengan memakan pil zat besi. Jika berlaku sesuatu kerumitan seperti penyakit darah tinggi atau kencing manis, dapatkan rawatan segera daripada doktor. Langkah berjaga-jaga ini adalah penting untuk menentukan keselamatan ibu dan bayi ketika kelahiran kelak.

Last Updated ( Monday, 12 February 2007 08:58 )  






Iklan

BUDS_SlideLogo

Bellaposhbowtique.com
Kedai Buku Online

Who's Online

Please select a menu item first in the module's configuration.

Statistik

Total Members : 16876
Latest Member : pralKistsuips
Today : 0 Registers
This Week : 0 Registers
This Month : 0 Registers
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday218
mod_vvisit_counterYesterday5079
mod_vvisit_counterThis week9957
mod_vvisit_counterLast week37552
mod_vvisit_counterThis month116277
mod_vvisit_counterLast month182771
mod_vvisit_counterAll days11149446

Your IP: 38.107.179.230
 , 
Today: May 22, 2012

Lokasi Kami


View Business Listing in a larger map

Hubungi Kami

     Klinik Dr. Hamid Arshat
     75M Medan Setia Satu,
     Plaza Damansara, Bukit Damansara,
     50490 Kuala Lumpur,
     Malaysia

Telefon temujanji:

  • 603 - 2094 5800
  • 603 - 2094 5262
  • 603 - 2094 1115
Faks : 603 - 2094 9402
    E-mail:
    • hamidarshat@hotmail.com